Baru beberapa hari lepas, kecoh isu ‘makcik gelang pink’ yang gambarnya tular mengunjungi sebuah kafe pada 6 Julai lepas, hari ini pula tersebar berita mengenai 17 kelasi warga asing yang katanya melanggar SOP kuarantin di Labuan.
Menurut Astro AWANI, seramai 17 kelasi warga asing ini telah melanggar syarat kuarantin dengan membeli belah di sebuah pasar raya besar dekat Labuan.
Kelasi dikompaun RM1,000 lepas gambar tular di WhatsApp
Akibat daripada perbuatan tersebut, 17 kelasi ini telah dikompaun RM1,000 dan membayarnya selepas siasatan kes dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Kejadian ini katanya mula mendapat perhatian ramai apabila tular foto di aplikasi WhatsApp menunjukkan 17 kelasi tersebut memakai ‘gelang kuarantin’ sedang membeli belah di sebuah pasar raya dekat Labuan.
Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, laporan mengenai tindakan mengingkar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) itu diterima beberapa minit selepas mereka dikesan membeli barangan makanan di pasar raya tersebut.
“Kami segera menjalankan siasatan dan mendapati mereka melanggar HSO dengan mengunjungi premis perniagaan dan berada di tempat awam ketika masih di bawah arahan kuarantin.
“Semalam, mereka menjalani kuarantin hari ke-12 di beberapa hotel yang diwartakan dan dijadual menjalani ujian COVID-19 kedua pada hari berikutnya,” katanya.
Baca: “Orang lain yang susah” – Makcik Gelang Pink Disahkan Positif Covid Lepas Buat Saringan Kali Ke-2