Seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 13 tahun lepas hanya memperoleh ganti rugi sebanyak RM123,556 berbanding RM3.1 juta selepas menang dalam kes samannya terhadap Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain.
Semalam, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ravintharan Paramaguru sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati jumlah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu tinggi.
Mangsa terpaksa menanggung kecacatan kekal pada zakar seumur hidup selepas seluruh kepala alat sulitnya terpotong ketika berkhatan di hospital kerajaan.
Artikel berkaitan: Zakar Terpotong Ketika Sunat, Keluarga Kecewa Kerajaan Rayu Keputusan Mahkamah Beri Ganti Rugi RM3.1 Juta
Artikel berkaitan: Lelaki Tak Sedar Anu Terpotong, Panik Bila Hospital Tolak Permintaan Untuk Sambungkan Balik
Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.
Kejadian ini berlaku pada 13 Disember 2010 dan ibu mangsa telah memfailkan saman pada 19 Julai 2018 ketika mangsa berusia 18 tahun, mendakwa proses bersunat itu tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
Pada 7 April 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman kecuaian yang difailkan pemuda berkenaan terhadap Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.
Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan ganti rugi khas RM108,356, ganti rugi RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000 kepada mangsa.
Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi sebanyak RM3.1 juta kepada mangsa kerana merasakan ganti rugi adalah terlalu tinggi.
Meskipun jumlah itu telah dipinda, panel-panel tersebut berpendapat perayu iaitu Kerajaan Malaysia dan empat yang lain bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Sumber: Harian Metro