Seorang suami yang dipercayai telah menikam isterinya sehingga maut dikatakan sempat mengambil anak pulang dari sekolah sebelum menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh, semalam (Isnin).
Suspek yang berusia 63 tahun itu difahamkan berbuat demikian menggunakan senjata tajam pada kira-kira jam 10 pagi di ruang dapur rumah mereka dekat Kampung Paku, Gual Periuk, Tanah Merah.
Mangsa iaitu Mastura Abdullah, 40 adalah isteri ketiga suspek dan mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun.
Menurut adik mangsa, Mohd Jony, 30, kakaknya yang bekerja sebagai tukang masak itu telah tiba di kampung pada jam 8 pagi dari Selayang, Selangor dengan menaiki lori sepupu.
Wanita itu kemudian tiba di rumah sekitar jam 9 pagi selepas diambil oleh adik bongsu di sebuah stesen minyak di Machang.

Artikel berkaitan: Kes Pelajar Dit*kam : Tiada Jaminan Buat Suspek – Mahkamah
Artikel berkaitan: Isteri Pemuda Lemas Di Jambatan Pulau Pinang Dedah Suami Mula Meracau Sejak 2 Minggu Lalu
Sepupu menurunkan dia di sana. Kemudian adik hantar ke rumah. Kami mengetahui kejadian ini dalam tengah hari, setelah abang ipar menyerahkan diri di balai polis.
“Sebelum itu dia sempat ambil anak lelakinya di sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometar dari rumah, dalam jam 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, pada Isnin.
Mohd Jony berkata, mereka kemudian bergegas ke rumah kakaknya selepas mendapat tahu mengenai kejadian itu namun tidak dapat menghampiri jenazah mangsa kerana polis sedang menjalankan siasatan.
Katanya lagi, anak saudaranya merupakan orang pertama yang melihat mangsa, namun disebabkan dia adalah orang kurang upaya (OKU), tiada sebarang tindakan diambil.


Adik mangsa juga memberitahu, kakaknya sudah lebih setahun bekerja di Selayang dan akan pulang setiap bulan, manakala suspek pula tidak bekerja.
Abang ipar dan kakak telah berkahwin selama 14 tahun dan dia (abang ipar) tidak bergaul dengan orang kampung. Jadi sukar untuk kami membuat apa-apa andaian.
“Kami hanya dimaklumkan arwah ditikam di bahagian hadapan dan belakang badannya banyak kali,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah Mastura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas selesai urusan bedah siasat.
Sumber: Sinar Harian
