Kes pukul melibatkan anggota tentera di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Bentong, Pahang kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan kematian mangsa pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa, Prebet Muhammad Amirul Raziq, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh.
Menurut beliau, sebelum ini kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Selepas mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.34 pagi, kertas siasatan telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Artikel penuh: Selepas 2 Minggu Dirawat Di Hospital, Prebet Yang Dipukul Koperal Meninggal Dunia
Artikel penuh: “Tiada Kompromi” – Kementerian Pertahanan Jamin Tegakkan Keadilan Dalam Kes Prebet Muhammad Amirul
Tambahnya, pihak polis juga telah memohon untuk menjalankan bedah siasat serta akan meneliti semula semua keterangan yang telah direkodkan sebelum ini.
“Jika perlu, rakaman percakapan saksi akan disambung bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan parah dipercayai akibat dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal, dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berkaitan tugasan di stor senjata pada 31 Mac lalu.
Siasatan awal turut mendapati beberapa anggota lain berusia antara 19 hingga 22 tahun berada di lokasi ketika kejadian berlaku.
Sumber: Berita Harian
