Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan bahawa pihaknya tidak membiayai Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Shah Alam yang dikaitkan dengan kes penderaan kanak-kanak yang tular baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun menegaskan, MARA tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang terlibat dalam salah laku sedemikian, terutamanya institusi yang menerima pembiayaan daripada agensi itu.
Beliau memberikan penjelasan tersebut susulan pendedahan pempengaruh, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, yang memuat naik beberapa video penderaan kanak-kanak menerusi akaun Instagram Caprice, semalam.
Artikel berkaitan: Kehilangan Anak Akibat Kecuaian Taska Tahun Lalu, Pasangan Ini Kini Dikurniakan Kembar 3
Artikel berkaitan: Tular Video Dera Bayi Di Pusat Asuhan: Seorang Wanita Ditahan Selepas Polis Terima 3 Laporan

“Terima kasih maklumkan pada saya, tadi Timbalan Ketua Pengarah MARA sudah bagi laporan kepada saya mengenainya.
Taska ini adalah syarikat yang mendapat pembiayaan MARA untuk pendidikan awal kanak-kanak.
Setakat ini, ada dua premis itu yang MARA bantu membiayai iaitu di Klang dan Bestari Jaya.
Kejadian yang berlaku di Kota Kemuning bukan membabitkan operator di bawah pembiayaan MARA,” katanya menerusi ruangan komen di Instagram Caprice.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata beliau telah mengarahkan pihak pengurusan MARA untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu berkenaan.
Tegasnya, MARA tidak akan berkompromi, berkolaborasi atau meneruskan pembiayaan kepada mana-mana institusi yang mempunyai rekod gagal menjaga kualiti pendidikan, lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Dalam video pertama yang didakwa dikongsi oleh seorang pelatih di sebuah taska di Shah Alam, seorang kanak-kanak autisme dilaporkan dikurung di dalam stor dalam keadaan menangis teresak-esak.
Caprice turut memuat naik satu lagi video yang memaparkan seorang bayi dibiarkan menangis sambil pekerja pusat asuhan berkenaan didakwa memaksa kanak-kanak itu minum susu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai pengalaman atau maklumat berkaitan kejadian sama di mana-mana taska milik syarikat terbabit supaya tampil berkongsi maklumat lanjut.
Sumber: Instagram
