in

Kes Pelajar T*kam Di Sekolah, Ini Kronologi Penuh Kejadian Tragis Tersebut

Untitled design 58

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semakin hari semakin banyak negara kita digemparkan dengan kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Isu ni bukan saja merisaukan ibu bapa, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan seluruh rakyat, kerana ia menunjukkan tanda-tanda serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Yang paling mengejutkan adalah kejadian yang berlaku semalam, di mana seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga maut. Tragedi ini sekali lagi menekankan betapa pentingnya perhatian terhadap keselamatan di sekolah dan pemantauan terhadap tingkah laku pelajar.


Bagi yang ingin memahami kes ini sepenuhnya serta perkembangan yang kita tahu setakat ini, boleh teruskan membaca artikel di bawah.

Artikel Berkaitan: “Masih nak nafi hukuman rotan?” – Dr Akmal Saleh Persoal Pendirian Kementerian Pendidikan – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Suspek T*kam Pelajar Direman 7 Hari, Bakal Disiasat Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan – Lobak Merah

Apa yang berlaku sebenarnya? 

pelajar ditikam berita harian

Hari Selasa semalam dalam kira-kira jam 9.30 pagi, tragedi ngeri ini dipercayai berlaku apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun didapati maut selepas ditikam berkali-kali oleh seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun.

Ketika kejadian ini berlaku, seorang guru dilaporkan terdengar suara perempuan menjerit meminta tolong. Namun, mangsa tidak sempat untuk diselamatkan meskipun guru tersebut cuba untuk membantu kerana suspek sudah menikam mangsa.

“Seorang guru yang berada berhampiran terdengar jeritan minta tolong daripada mangsa dan cuba membantu, namun ‘terlambat’ kerana suspek sudah menikam mangsa,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat pada sidang media di lokasi kejadian semalam. 

Menurut saksi di sekolah terbabit, suasana kelas menjadi panik apabila melihat suspek melangkah masuk ke kelas sambil memegang senjata tajam yang berlumuran darah, memetik laporan Free Malaysia Today.

“Dia masuk kelas sambil tunjuk senjata tajam. Bajunya ada kesan darah.

“Kami semua terkejut, sebab dia bukan pelajar kelas kami.

“Saya dan kawan-kawan masih trauma dengan kejadian tadi,” katanya dengan nada sebak.

Kekecohan itu hanya berakhir setelah abang kepada suspek dan beberapa guru berjaya menahannya dan merampas pisau daripadanya.

“Abangnya berjaya merampas pisau itu selepas bergelut dengannya. Guru-guru pula cuba menenangkannya,” kata saksi itu.

Menurut Berita Harian, insiden ini dikatakan berlaku di luar bilik darjah berhampiran kawasan tandas perempuan. Setelah itu, suspek terus ditahan pada hari yang sama di sekolahnya.  Dua senjata tajam yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa berkali-kali juga telah dirampas oleh pihak polis.

“Kita ada rampas dua senjata tajam yang kita percayai digunakan dalam kejadian ini. Kita akan sahkan kemudian (jenis senjata digunakan) nanti.

“Kecederaan tikaman (didapati di bahagian badan (mangsa). Apabila laporan postmortem (bedah siasat) keluar nanti, kita akan tahulah berapa jumlah tikaman yang sebenar,” katanya.

Mayat mangsa pula dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) untuk bedah siasat.

Tiada unsur buli 

Menurut Shamsudin, tiada unsur buli yang mendorong kepada tindakan suspek terhadap mangsa. Pihak polis juga tidak menafikan kemungkinan wujudnya faktor lain yang menyebabkan suspek membuat tindakan tersebut.

Di samping itu, terdapat banyak spekulasi yang mendakwa bahawa cinta suspek telah ditolak oleh mangsa sebelum kejadian berlaku. Namun, dakwaan yang tersebar di media sosial itu masih dalam siasatan pihak polis lagi.

“Proses siasatan masih lagi berjalan dan dilakukan secara menyeluruh. Namun apa sahaja maklumat perlu diteliti dahulu,” kata Asisten Komisioner Shamsudin Mamat.

Selain itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar juga telah mengesahkan bahawa saringan telah dijalankan dan suspek negatif serta bebas daripada sebarang pengaruh dadah, petik laporan Sinar Harian.

Suspek dan mangsa merupakan pelajar peralihan 

Menurut Berita Harian, suspek terbabit berusia 14 tahun, manakala mangsa pula berusia 16 tahun. Namun kedua-dua mereka ini belajar di kelas peralihan, menjadikan masing-masing kini berada di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.

Berdasarkan usia 14 tahun dan 16 tahun, sepatutnya mereka belajar di Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat. Siasatan juga mendapati bahawa suspek dan mangsa tidak berada dalam kelas yang sama, petik laporan Sinar Harian.

KPM tubuh Jawatankuasa Khas

fadhlina sidek sinar harian tikam

Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi memastikan semua aspek terkait dengan kes pelajar yang ditikam ini disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Sebagai langkah memastikan kelancaran siasatan dalaman, pentadbir sekolah tersebut dikatakan bakal berpindah ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan kes selesai dijalankan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan kejadian yang berlaku.

“KPM merakam ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal kerana ditikam. Semoga keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.” 

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, menafikan bahawa sekolah terbabit adalah sekolah yang bermasalah. Beliau menegaskan tiada sekolah di negara ini dilabel sebagai sekolah bermasalah, sebaliknya setiap isu yang berlaku perlu diberi perhatian yang serius.

“Sekolah di Malaysia ini semua tak ada masalah. Alhamdulillah. Cuma berlakulah sedikit (kejadian). Tapi apa yang saya tegaskan, apa pun berlaku yang mengancam keselamatan pelajar kita, KPM tetap akan pandang serius,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Reaksi keluarga 

ibu bapa suspek berita harian

Bapa kepada suspek menjelaskan bahawa anaknya merupakan seorang yang pendiam dan tidak bercakap banyak. Dia sendiri juga tidak menyangka bahawa anaknya sanggup bertindak sedemikian.

“Saya hancur hati apabila anak saya melakukan perkara ini.

“Saya tahu, apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak akan mengubah apa-apa. Apa pun yang saya lakukan, saya takkan dapat kembalikan anak perempuan mereka. Saya sendiri tak tahu bagaimana nak berdepan dengan keluarga mereka…” katanya.

Bapa suspek berusia 40 tahun yang enggan dikenali itu turut memberitahu media bahawa tiada sebarang kelakuan luar biasa pada anaknya ketika dia menghantarnya ke sekolah pada pagi kejadian, menyebabkan dia langsung tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku.

 Info semasa

info semasa kes tikam sinar harian

Setakat artikel ini ditulis, Mahkamah Majistret telah memerintahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tikaman di sekolah. Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dalam prosiding tersebut, suspek diwakili oleh peguam bernama Anuar Ezzad.

Senjata yang dirampas daripada suspek, iaitu dua bilah pisau yang menjadi objek tikaman, dikatakan dibeli secara dalam talian. Namun, sejak bila suspek memperolehnya masih dalam siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.

“Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Selain itu, pihak polis turut menemui nota yang dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan.

“Dunia ini palsu. Saya sudah menang.”

Itulah antara ayat yang ditulis dalam nota yang dipercayai milik suspek yang berusia 14 tahun itu. Pihak polis kini masih menjalankan siasatan bagi merangkumi semua aspek, termasuk latar belakang suspek dan mangsa, di samping memandang serius terhadap insiden ini.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.