Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes harian COVID-19 di negara ini akan mula stabil dan menunjukkan penurunan dalam tempoh satu minggu atau dua minggu lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau ketika menjadi tetamu program The Nation bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, malam tadi, beliau berkata dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan serta kawalan kesihatan awam yang masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ketika ini mampu untuk melandaikan semula keluk jangkitan virus itu, lapor Harian Metro.
Tambah beliau lagi, KKM sudah menjangkakan kes harian akan meningkat susulan lebih bayak saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan khususnya di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.
“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan), kita akan lihat jumlah kes yang lebih stabil serta penurunan dalam tempoh seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham juga berkata, mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua COVID-19 sebelum ini, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.
Ujar beliau lagi, pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkatkan dalam usaha mengekang jangkitan terutama sekali di tempat kerja.
Untuk pengetahuan, semalam, Malaysia merekodkan kes jangkitan harian tertinggi dengan 9,353 kes baharu. 29 lagi kluster baharu dikesan dan 19 daripadanya adalah kluster tempat kerja.
Sumber: Harian Metro
Baca: COVID-19: Kes Baru Meningkat Kepada 9,353, Melaka Catat Peningkatan Mendadak