in

Kenapa Kes Najib Razak Tak Pernah Habis? Ini 7 Perkara Yang Ramai Masih Keliru

collage 34

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya di antara Februari hingga Disember 2014.

Ekoran ini, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion bagi setiap pertuduhan, hukuman ini diperintahkan untuk berjalan serentak.


Walaupun keputusan bersalah dan hukuman telah dijatuhkan, kes melibatkan Najib Razak masih menjadi tajuk utama dan perbualan ramai. Setiap kali ada perkembangan baharu, kekeliruan yang sama akan timbul semula.

Perkara ni memang tak menghairankan kerana kes ini melibatkan banyak pertuduhan berasingan. Jadi untuk artikel kali ini, apa kata kita tengok apa yang orang selalu keliru tentang kes Najib Razak.

bhsedih26 1766759166

1. Kenapa kes Najib banyak, bukan satu je?

Ramai menganggap bahawa kes Najib adalah satu kes besar, sedangkan beliau sebenarnya berdepan dengan beberapa kes berasingan. Antaranya ialah kes SRC International dan beberapa kes lain berkaitan dana 1MDB yang melibatkan transaksi dalam tempoh masa berbeza.

Menurut Bernama, setiap pertuduhan difailkan di bawah peruntukan undang-undang yang berlainan dan perlu dibicarakan secara individu. Jadi, mahkamah tak boleh menggabungkan semua pertuduhan menjadikannya satu kes walaupun ia melibatkan tertuduh yang sama.

2. Kenapa hukuman dijatuhkan berasingan?

Macam yang korang tahu, Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Ekoran ini, hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB hanya akan bermula selepas tamat tempoh pemenjaraan yang sedang dijalani oleh tertuduh, iaitu selepas tamat hukuman dalam kes SRC.

Ini kerana, setiap kes mempunyai keputusan dan hukuman sendiri. Apabila satu kes selesai dan hukuman dijatuhkan, hukuman tersebut hanya terpakai pada kes berkenaan sahaja.

Ini merupakan prosedur biasa dalam sistem kehakiman kerana setiap kes dinilai berdasarkan bukti dan fakta masing-masing. Sebab itu, seseorang masih boleh dikenakan hukuman lain walaupun sudah menjalani hukuman bagi kes yang berbeza.

81730176143 NajibRazak

3. Kalau dah sabit, kenapa masih ada rayuan?

Dalam sistem perundangan Malaysia, tertuduh yang disabitkan bersalah masih mempunyai hak untuk membuat rayuan. Ini bertujuan untuk mencabar keputusan mahkamah dari segi undang-undang atau prosedur.

Kalau korang nak tahu, proses rayuan boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya Mahkamah Persekutuan. Selagi proses rayuan masih berjalan, keputusan mahkamah belum dianggap muktamad sepenuhnya.

4. Kenapa proses kes ambil masa bertahun-tahun?

Kes berkaitan 1MDB melibatkan ratusan dokumen kewangan, puluhan saksi dan urus niaga merentas negara. Kesemua bukti ini perlu diteliti secara terperinci oleh pihak pendakwaan, pembelaan dan mahkamah.

Mahkamah juga perlu menyediakan penghakiman bertulis yang panjang selepas mendengar hujah dari kedua-dua pihak. Disebabkan ini, kes berprofil tinggi biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

5. Kenapa masih ada orang yang sokong Najib?

HM2612251najb 1766713644

Walaupun terdapat sabitan dan hukuman, sokongan terhadap Najib masih wujud dalam kalangan sebahagian masyarakat. Perkara ini sering dikaitkan dengan perbezaan politik, pengalaman pentadbiran lalu dan naratif yang dipercayai oleh individu tertentu.

Fenomena ini bukan sesuatu yang luar biasa apabila melibatkan tokoh politik besar. Persepsi orang ramai sering dipengaruhi oleh latar belakang politik dan sumber maklumat yang diikuti oleh mereka.

6. Apa beza sabitan, rayuan dan DNAA?

Dalam laporan kes berprofil tinggi, tiga istilah ini sering muncul hingga buat ramai keliru. Sabitan merujuk kepada keputusan mahkamah yang mendapati tertuduh bersalah selepas perbicaraan penuh. Rayuan pula ialah proses undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah yang lebih tinggi dan merupakan hak yang dibenarkan dalam sistem kehakiman Malaysia.

Manakala DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) pula bermaksud tertuduh dilepaskan buat sementara waktu dan bukan bebas sepenuhnya. Dalam konteks berkaitan 1MDB, pada 20 Jun 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan DNAA kepada Najib Razak bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta yang telah difailkan sejak 2019. Keputusan ini dibuat selepas mahkamah mengambil kira kes tersebut tidak bergerak dan pihak pendakwaan belum bersedia untuk memulakan perbicaraan.

Tapi penting untuk difahami, DNAA ni tak sama dengan pembebasan. Dengan DNAA, pihak pendakwaan masih mempunyai hak untuk failkan semula pertuduhan di masa hadapan selepas mereka bersedia.

Ini bermakna, DNAA merupakan keputusan prosedural dan bukan penilaian sama ada tertuduh bersalah atau tidak.

7. Kenapa kes Najib masih jadi bualan sehingga hari ini?

Kes Najib sering dikaitkan dengan isu lebih besar seperti pengurusan dana awam, tadbir urus dan akauntabiliti seseorang pemimpin. Selain itu, skandal 1MDB turut mendapat perhatian antarabangsa.

Jadi boleh dikatakan, selagi masih ada perkembangan undang-undang atau keputusan baharu diumumkan, kes ini akan terus menjadikannya rujukan dalam perbincangan awam di dalam dan luar negara.

Sumber: FMT, Berita Harian, Astro Awani, NST

Sumber: Astro Awani
Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.