in

Kenali Ubur-Ubur Kotak, Hidupan Laut Yang Paling Berbisa & Boleh Mengancam Nyawa Manusia

Featured LM 23

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Jabatan Perikanan Kedah mengesahkan bahawa ubur-ubur kotak atau box jellyfish memang berada di perairan Langkawi susulan laporan yang muncul sejak beberapa hari lalu, lapor Harian Metro.

Menurut Pengarah Perikanan Kedah iaitu Sukri Debris, jumlah hidupan laut berbahaya itu buat masa ini masih berada di tahap sederhana dan tidak sampai ke tahap yang boleh menghentikan sepenuhnya aktiviti rekreasi di kawasan terbabit.


Walau bagaimanapun, kehadiran itu cukup untuk memberikan ancaman bahaya terhadap aktiviti di perairan sama ada aktiviti rekreasi atau komersial lain seperti perikanan,” katanya.

Namun pada Sabtu yang lalu, insiden ini telah membabitkan percutian sebuah keluarga warga Russia di Langkawi berakhir dengan kisah yang menyedihkan apabila anak lelaki mereka yang baru berusia dua tahun telah meninggal dunia setelah disengat dengan ubur-ubur.

Jadi, untuk ketahui lebih lanjut tentang bahayanya ubur-ubur kotak dan bagaimana ia boleh mengancam keselamatan manusia di laut, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.

Ubur-ubur kotak

Johnson CC 18I 3 1

Ubur-ubur kotak atau box jellyfish ini mempunyai nama saintifiknya iaitu Cubozoa dan ia merupakan antara hidupan laut yang paling digeruni.

Hidupan laut ini merupakan hidupan karnivor yang biasanya akan memburu udang dan ikan kecil di kawasan perairan panas. Saiznya boleh mencapai sehingga tiga meter panjang bersama lengan tentakelnya, manakala bentuk kepalanya berbentuk kiub dengan kelebaran sekitar sepuluh inci.

Ubur-ubur kotak ini juga tidak seperti ubur-ubur yang lain yang biasanya hanyut mengikut arus, hidupan laut ini dikatakan mempunyai keupayaan untuk berenang sendiri. Hidupan laut ini mampu untuk menolak tubuhnya seperti payung yang dibuka dan ditutup di samping bergerak sehingga enam kilometer sejam serta memburu mangsanya secara aktif. Sistem sarafnya juga kuat untuk membantu mengelak daripada halangan dan mengejar mangsa.

Walaupun beratnya sekitar dua kilogram sahaja, namun hidupan laut ini mempunyai sistem biologi yang dianggap paling berbisa dan mampu untuk meragut nyawa manusia dalam beberapa minit sahaja.

Artikel Berkaitan: 40 Orang Peserta Acara Renang Laut Disengat Ubur-ubur Di Teluk Senangin, Lumut – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Tenang betul!” – [VIDEO] Ramai Puji Dato’ Aliff Syukri Pandai ‘Handle’ Anak Kena Sengat Obor-Obor – Lobak Merah

Habitat ubur-ubur kotak 

Featured LM 24

 

Ubur-ubur kotak ni boleh ditemui di kawasan tropika dan subtropika Indo Pasifik serta perairan utara Australia. Beberapa spesies juga pernah dilaporkan berada di perairan Hawaii serta kawasan pantai di Teluk Mexico dan Pantai Timur Amerika Syarikat.

Selain itu, hidupan laut ini telah wujud sejak lebih 600 juta tahun dan berjaya bertahan melalui beberapa fasa kepupusan hidupan lain di dunia. Bilangannya kini semakin meningkat akibat pemanasan global dan penyuburan laut daripada baja pertanian yang mengalir ke laut. Musim ubur-ubur kotak ni biasanya akan memuncak dari bulan November hingga ke bulan April.

Hidupan laut ini juga mempunyai 43 spesies yang lain, namun kesemuanya tetap boleh mengancam nyawa manusia.

Hidupan laut yang paling berbisa 

sengat obor obor

 

Kehebatan ubur-ubur kotak ini terletak pada racunnya. Setiap lengan tentakelnya memiliki kira-kira lima ribu sel penyengat yang mampu untuk melepaskan toksin pada kelajuan lebih 60 kilometer sejam.

Toksin yang dibebaskan ini boleh menyerang jantung, sistem saraf dan sel kulit mangsa. Manusia yang terkena sengatan ubur-ubur kotak akan berdepan dengan peningkatan tekanan darah secara mendadak sehingga menyebabkan jantung berhenti dalam masa lima minit. Kebanyakan mangsa akan terus rebah selepas terkena sengatan akibat kejutan kesakitan yang melampau.

Bagi kes yang kurang parah sekalipun, mangsa boleh mengalami kesakitan yang berminggu-minggu dan meninggalkan parut kekal. Di Filipina sahaja dianggarkan antara 20 hingga 40 kematian berlakuan setiap tahun akibat serangan ubur-ubur kotak dan angka global dijangka lebih tinggi sebab banyak kes tersalah diagnosis.

Pendek kata, 43 spesies ubur-ubur kotak ni sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada jerung, pari atau ular laut, malah peluang lagi tinggi untuk selamat jika digigit oleh labah-labah black widow.

Macam mana dia sengat? 

obor 23 51 523795 696x418 1

Menurut pakar biologi Dr. Angel Yanagihara dari Universitiy of Hawaii, ubur-ubur kotak tidak menyuntik racun sama seperti ular.

Sebaliknya, ia akan melepaskan racun pencernaan yang direka untuk melumpuhkan serta mencernakan mangsa dengan cepat. Racun ini akan serang sel-sel badan manusia sehingga menjejaskan jantung, saraf dan kulit manusia.

Setiap sudut kepala ubur-ubur kotak ini mempunyai sehingga lima belas lengan tentakel yang boleh memanjang sehingga tiga meter dan sel penyengatnya tidak dipicu melalui sentuhan, tapi menerusi bahan kimia pada lapisan luar mangsa.

Perkara ini secara langsung membolehkan ia menyengat dengan tepat dan cepat tanpa menunggu berlakunya sentuhan fizikal. Walaupun berbisa dan membahayakan, Dr. Yanagihara menegaskan yang sebenarnya manusia adalah ancaman bagi mereka.

Kes sengatan ubur-ubur kotak selain di Langkawi

box jellyfish langkawi

 

Sebenarnya kes serangan sengatan ubur-ubur ini bukan kali pertama ia berlaku di negara kita. Pada bulan Ogos yang lalu, seramai 40 orang peserta acara renang laut yang mengikuti program Teluk Senangin Open Water Swin 2025 juga berdepan dengan sengatan ubur-ubur.

Cuma pada waktu itu, ubur-ubur yang berada di Teluk Senangin itu tidak diklasifikasikan sebagai ubur-ubur kotak, menjadikan mangsa cuma mengalami alahan yang ringan dan rasa pedih pada kulit.

Menurut CDN, seorang wanita berusia 32 tahun dari Bohol, Leslie Ann Madronero telah meninggal dunia selepas disengat dengan ubur-ubur kotak ketika berenang di pantai awam di Santa Fe, Pulau Bantayan, Cebu pada Jun 2023.

Pada hari kejadian, Madronero sedang bersama-sama rakan-rakannya, Marlon, Magno, Ma. Cecilia Bazar dan Menard Paras. Sepuluh minit selepas mereka ke laut, Madronero terasa gatal pada lengan kirinya dan kemudian mengalami kesukaran bernafas.

Rakan-rakannya terus segera membantunya keluar dari perairan, namun lengan kiri Madronero telah bertukar merah yang dipercayai disebabkan sengatan ubur-ubur.

Mangsa terus dibawa ke Bantayan District Hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia semasa tiba di hospital. Punca kematiannya telah dicatat sebagai kejutan kardiogenik akibat serangan jantung.

Sejurus itu, pihak berkuasa Santa Fe menegaskan betapa bahanya sengatan ubur-ubur kotak dan mengingatkan pelancong supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi panduan keselamatan ketika berenang.

Walaupun ia terkenal sebagai hidupan paling berbisa di laut, ubur-ubur kotak ini sebenarnya tidak memburu manusia atau menjadikan manusia sebagai mangsa mereka. Kebanyakan insiden sengatan berlaku apabila manusia yang memasuki kawasan perairan di sekitar habitat mereka.

Namun dengan perubahan iklim dan peningkatan suhu air laut, bilangan ubur-ubur kotak semakin bertambah dan kawasan taburannya semakin meluas, menjadikan isu ini boleh meningkatkan risiko bagi nelayan dan orang-orang yang bergiat aktif di kawasan perairan terutamanya di kawasan pantai yang popular.

Bila berada di kawasan pantai, sebenarnya kemahiran berenang sahaja belum tentu keselamatan kita terjamin sepenuhnya. Jadi dengan itu, kita dinasihati untuk sentiasa berjaga-jaga apabila melakukan aktiviti di laut sebab walaupun ubur-ubur kotak merasakan manusia adalah ancamannya, tapi racunnya itu adalah ancaman yang sebenar buat kita.

Sumber: National Geographic, How Stuff Works

Sumber: Parboaboa
Sumber: X
Sumber: umpan
Sumber: The Star

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.