Jenazah lelaki yang ditembak maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lepas difahamkan masih belum dituntut oleh ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Menurut Sinar Harian, proses bedah siasat mayat sudah selesai tetapi proses pengebumian suspek masih tak dapat dilakukan walaupun kuburnya di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, Batu 19, Kampung Sungai Tiram sudah tersedia sejak Sabtu lalu.
Petugas media yang berada di tanah perkuburan itu sejak jam 1 petang hingga 8 malam memaklumkan, belum ada tanda-tanda yang jenazah akan dikebumikan pada malam semalam.
Artikel berkaitan: Suspek Serangan Balai Polis Ulu Tiram Bukan Anggota JI – KPN
Artikel berkaitan: Kes Balai Polis Diserang: Keluarga Suspek Tidak Bergaul Dengan Penduduk Setempat
Hasil tinjauan juga mendapati persiapan bagi pengebumian jenazah juga sudah dilakukan dengan memasang khemah biru.
Kubur yang sudah siap digali itu juga terletak di hujung tanah perkuburan, kira-kira 300 meter daripada kubur lain.
Dalam pada itu, tidak kelihatan sebarang polis ataupun ahli keluarga suspek termasuk saudara dan rakan-rakan hadir di tanah perkuburan tersebut sehingga jam 6 petang semalam.
Suspek difahamkan sebelum ini tinggal di Jalan Robani, Kampung Sungai Tiram iaitu tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut.
Terdahulu, kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang berlaku pada Jumaat jam 2.30 pagi itu telah meragut nyawa dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Sumber: Sinar Harian