Berikutan dengan kisah penyanyi terkenal pada era 1990-an yang enggan keluar rumah kerana tidak membayar sewa, timbul lagi satu isu daripada jiran setempat yang kurang senang dengan sikapnya.
Menerusi Harian Metro, jiran tetangga memaklumkan bahawa mereka sudah bersabar selama 3 tahun dengan sikap pengotor dan mengganggu ketenteraman jiran pada lewat malam hingga lewat pagi itu.
Artikel Berkaitan : “Dia keluar dengan parang” – Penyanyi 90-an Enggan Berbincang, Tak Bayar Sewa Rumah 4 Bulan
Artikel Berkaitan : Noura Al-Taqaqa : Penyanyi Popular Tahun 90-an Berhenti Secara Drastik Lepas ‘Perform’ Wedding Rumah Jin
Banyak najis kucing, suka bertukang tengah malam & melenting bila ditegur
Salah seorang jiran yang dikenali sebagai Che Ma berkata, dia tidak menafikan apa yang diceritakan oleh tuan rumah yang dikenali sebagai Liza Mohamad itu benar, jelasnya, dia begitu kasihan kerana wanita itu susah nak dapatkan rumahnya sendiri semula.
“Penyanyi itu bukan saja tidak membayar sewa rumah dan bil elektrik, namun dia selama menetap di sini sejak tiga tahun lalu tidak menjalinkan hubungan baik dengan sesama jiran. Dia (penyanyi) selalu membuat ketenteraman penduduk terganggu.”
“Pada waktu tengah malam hingga jam 2 sampai 3 pagi, dia bertukang dalam rumah yang membuatkan suasana bising dan mengganggu kami yang nak tidur. Kawasan rumahnya juga kotor dicemari najis kucing, selain merosakkan barangan penduduk setempat.”
“Sejak dia menetap di kawasan kediaman ini, penduduk berhadapan gangguan bunyi bising dan dia langsung tiada rasa hormat pada jiran. Saya sangat berharap ada pihak berkuasa yang dapat campur tangan membantu Liza dan kami (penduduk) menyelesaikan masalah ini.”
Jelas Che Ma, selepas dia terbaca berita tentang Liza, dia tidak boleh berdiam diri kerana penyanyi terbabit tidak boleh dibawa bincang dan bila ditegur, penyanyi itu akan naik angin serta ajak bergaduh.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Rashid berkata, dia harap agar persatuan artis yang banyak di negara ini untuk turun padang bagi membantu tuan rumah terbabit untuk selesaikan masalah ini.
“Sudah tiga tahun kami (penduduk) diam kerana bersabar walaupun keadaan dihadapi sebagai penghuni berjiran dengan penyanyi itu sangat terganggu. Saya sendiri pun amat kasihan dengan Liza kerana susah betul dia nak dapatkan rumahnya daripada penyanyi berkenaan.”
“Beberapa laporan polis juga sudah dibuat oleh Liza, namun semacam tidak dapat membantunya untuk memiliki semula rumah peninggalan Allahyarham suaminya daripada penyewa tidak bermoral sebegitu.”
Dalam pada itu, Rashid juga menjelaskan bahawa ada pihak polis datang ke rumah sewa berkenaan semalam untuk meminta penyanyi itu keluar tetapi tiada sebarang tindakan daripada penyanyi itu sehingga kini.
“Saya minta sangat kerjasama daripada pihak-pihak berkuasa yang boleh menangani masalah ini membantu kami. Tolonglah bawa keluar penyanyi itu dari tempat kediaman kami agar dia boleh menyewa di tempat lain yang lebih rendah kadar sewa bulanan.”
Sebelum ini, kes mengenai penyanyi ini menjadi perhatian selepas Liza membuat laporan polis terhadap penyanyi tersebut kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,000 sejak Jun lalu.
Malah, notis mengosongkan rumah itu juga difahamkan sudah diberi dan diterima oleh isteri penyanyi terbabit, namun tidak diendahkan dan mereka kekal duduk di rumah itu.
Sumber: Harian Metro