Semua orang mempunyai personaliti yang tersendiri. Ada orang berasa tenang apabila dapat melihat kehijauan hutan-hutan dan bunyi air sungai yang mengalir.
Namun, ada juga yang berasa tenang jika bergaul dengan ramai orang di dalam pusat beli-belah yang sibuk.
Bagaimana definisi tenang bagi setiap orang berbeza? Mereka yang lebih suka untuk menyendiri, lebih dikenali sebagai individu introvert, manakala mereka yang lebih suka bergaul dengan orang ramai, lebih dikenali sebagai ekstrovert.
Untuk pengetahuan anda, golongan introvert membentuk anggaran 25% hingga 40% daripada populasi dunia. Jadi, anda seorang yang introvert atau extrovert?
Tanda seorang introvert
Bagaimana untuk tahu jika anda ialah seorang yang introvert atau extrovert? Berikut adalah 7 tanda-tanda individu introvert:
1. Berada dalam kumpulan yang besar buat anda penat
Pernahkan anda berasa penat selepas meluangkan masa dengan ramai orang? Selepas seharian bergaul dengan orang, pernahkah anda berasa mahu duduk di tempat yang sunyi dan meluangkan masa bersama diri sendiri?
Jika ya, berkemungkina besar anda ialah seorang introvert. Ini bukanlah bermakna individu introvert ialah seorang yang tidak boleh bergaul dengan orang lain, namun mereka lebih gemar akan masa berkualiti bersama rakan terdekat sahaja.
2. Suka bersendirian
Sebagai seorang introvert, anda akan memandang masa bersendirian sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Aktiviti seperti membaca buku, melayari Netflix dan berjalan di taman seorang diri membuatkan anda berasa tenang dan bertenaga.
Ini tidak bermakna individu introvert tidak suka bergaul, cuma mereka lebih menikmati masa bila bersendirian. Betul kan?
3. Mempunyai rakan yang sedikit
Salah satu pandangan salah terhadap golongan ini ialah mereka tidak suka bergaul. Walhal sebenarnya, mereka lebih gemar meluangkan masa bersama rakan yang terdekat dan rapat.
Hubungan rapat seperti ini dilihat sebagai lebih intim, tahan lama dan seronok.
4. Orang lain sukar untuk mengenali anda
Individu introvert sinonim dengan orang yang pendiam, kurang bergaul dan pemalu.
Ciri-ciri seperti ini kadang kala membuatkan orang lain beranggapan bahawa mereka sombong dan tidak berminat untuk bergaul. Walhal, mereka sebenarnya kurang mahir untuk memulakan perbualan dengan orang baru.
5. Senang hilang fokus bila banyak benda terjadi
Apabila seseorang individu introvert itu meluangkan masa dalam aktiviti yang berat, mereka kadang kala akan mudah untuk hilang fokus dan berasa penat. Manakala individu extrovert akan berasa lebih seronok jika melakukan banyak aktiviti.
Hasil kajian mendapati individu introvert lebih mudah hilang fokus berbanding individu extrovert.
6. Peka akan keadaan sekeliling
Introvert cenderung untuk berfikir dan mengkaji tentang sesuatu perkara di dalam otak mereka. Jika mahu memulakan perbualan pun, mereka akan mencipta senario dan ayat yang mahu diungkap kepada orang lain agar ia tidak kedengaran pelik mahupun kurang sopan.
Ini membuatkan mereka lebih peka terhadap perkara di sekeliling.
7. Tertarik dengan kerja yang boleh berdikari
Mereka yang introvert kebiasaannya lebih tertarik dengan kerja yang boleh dilakukan seorang diri tanpa perlu banyak berjumpa dengan ramai pihak. Sebagai contoh, individu introvert mungkin akan menyukai pekerjaan seperti penulis, akauntan, dan programmer.
Kredit: Very Well Mind
BACA: Teori Darah Furukawa: Makna Disebalik Jenis Darah Dan Kaitannya Dengan Personaliti Anda