Bila tinggal serumah, memang biasalah kalau kita ada rasa tak puas hati dengan cara housemate kita kan? Iyalah, personaliti orang ni berbeza-beza. Ada yang suka benda kemas ada yang tak kisah kalau rumah sepah.
Seorang lelaki dari Lahad Datu ni mengalami kecederaan parah selepas dia dikelar dengan parang pada hari Selasa lepas. Insiden ini dipercayai berlaku sebab dia marah teman serumahnya kerana tak basuh pinggan selepas makan. Eh, kenapa dia pulak yang nak marah lebih ni?
Menurut Berita Harian, insiden ini berlaku pada pukul 3 pagi di rumah pekerja ladang di Cenderawasih. Pekerja ladang yang berusia 29 tahun ini dikatakan sempat melepaskan diri dan cuba mencari perlindungan di rumah penyelianya yang terletak 500 meter dari tempat kejadian.
Ketua Polis Lahad Datu, Penolong Penguasa Nasri Mansor berkata yang mangsa dipercayai sedang tidur di biliknya sebelum suspek berusia 25 tahun ini mengetuk pintu biliknya.
“Bila mangsa buka pintu, suspek terus serang mangsa dengan parang sambil tolak mangsa ke atas lantai dan berlaku bergelutan antara mereka.
“Mangsa kemudiannya berjaya merampas parang tersebut dari suspek. Dia mengalami kecederaan parah di kepala dan bahu kiri dan beberapa calar di pipi kiri akibat dari pergelutan tersebut.”
Nasri menambah, selepas pergelutan di dalam bilik, suspek keluar dan datang semula bawa parang lain yang diambil dari dapur. Betul-betul marah ni…
“Suspek mengejar mangsa yang sedang cuba keluar untuk ke rumah penyelia mereka yang terletak tak berapa jauh dari rumah mereka.
“Bagaimana pun, suspek tak sempat menahan mangsa. Penyelia mereka kemudian membawa mangsa ke klinik di Cenderawasih sebelum dipindahkan ke Hospital Lahad Datu.”
“Mangsa pernah marah suspek sekali kerana tak basuh pinggan selepas makan. Mangsa merasakan yang suspek ada menyimpan dendam kerana memarahinya. Selain itu, mereka tak pernah bergaduh sebelum ini.
“Sehari sebelum kejadian, mangsa mengatakan yang dia melihat suspek dalam keadaan murung tapi bila ditanya suspek hanya mendiamkan diri.
“Mangsa juga pernah bawa teman serumahnya ini untuk berubat kampung dan suspek mengatakan dia sudah sembuh.”
Siasatan awal menemui yang rumah tersebut didiami oleh empat orang pekerja, namun dua pekerja melarikan diri kerana takut dengan insiden yang berlaku.
Suspek ditahan pada pukul 1.50 petang pada hari yang sama di rumah tersebut.
“Suspek cedera di kedua-dua belah telinga dan jari telunjuk sebelah kanan. Polis juga telah merampas dua parang yang dipercayai telah digunakan semasa insiden tersebut.”
Macam tak percaya je sanggup cuba nak tikam sebab kena marah tak basuh pinggan. Ke ada sebab lain ni?
Baca: “Kami dah lali bau taik” – Wanita Stress Dapat Jiran Pengotor, Sesuka Hati ‘Membuang’ Depan Rumah