Penduduk di Jalan Moran, Tiberias kini hidup dalam ketakutan susulan peningkatan kejadian ‘serangan’ ular yang semakin banyak.
Menurut laporan Maariv, sepanjang sebulan lalu, reptilia itu dilihat hampir setiap hari di dalam pangsapuri, kawasan tangga dan halaman, sehingga menimbulkan kebimbangan wujudnya sarang ular di bawah bangunan kediaman.
Artikel berkaitan: Gabenor Baitulmaqdis Dedah Masjid Al-Aqsa Berisiko Runtuh Jika Rejim Israel Terus Menggali
Artikel berkaitan: Pengarah Program Jelaskan Pengibaran Bendera Israel Hanya Gimik Apa Yang Berlaku Kepada Sukarelawan GSF
“Kami seolah-olah hidup dalam filem seram. Anak saya bangun untuk minum air dan menemui seekor ular dalam sangkar anjing. Saya masuk ke dapur, juga ada seekor ular. Kini ia sudah menjadi rutin, tiada hari tanpa ular,” kata seorang penduduk.
Menurut penduduk, pihak majlis perbandaran pernah menghantar penangkap ular sebelum ini, namun keadaan dilihat semakin memburuk.
“Ular-ular terus keluar dari tanah dan tiada siapa menyiasat punca atau melakukan pembasmian menyeluruh.
Pengabaian ini membahayakan nyawa,” tegas seorang penduduk lain.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan menerima aduan dan memaklumkan bahawa penangkap ular telah dipanggil semula untuk memeriksa kawasan serta menilai sama ada rawatan khusus boleh dilakukan bagi menghapuskan tempat pembiakan.
Namun, penduduk mendakwa tindakan masih tertumpu di kawasan awam dan bukan di sekitar atau dalam bangunan.
“Mereka kata mungkin datang dari kawasan lapang berhampiran. Mereka janji akan maklumkan perkembangan, tetapi sementara itu, kami sudah jumpa ular lain,” kata seorang wanita.
Lebih membimbangkan, beberapa penduduk turut melaporkan kehadiran kala jengking di kawasan sama.
“Seolah-olah kami tinggal di Jurassic Park. Ia berbahaya, dan selagi belum berlaku tragedi, mereka tidak akan faham,” kata seorang lelaki.
Susulan situasi yang dianggap semakin kritikal, penduduk kini mendesak agar pembersihan serta pembasmian menyeluruh dilakukan segera bagi melindungi keselamatan keluarga dan kanak-kanak yang sudah tidak lagi berasa selamat di rumah sendiri.
Sumber: Maariv News
