in

“Jumlah kematian meningkat & ratusan dilaporkan hilang” – Ini Kronologi Kejadian Kebakaran Di Pangsapuri Hong Kong

Featured LM 37

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Sebuah kebakaran dahsyat yang berlaku di beberapa blok pangsapuri tinggi di Hong Kong telah meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa, manakala lebih 270 orang dilaporkan hilang dan ribuan penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Asap tebal yang menjulang dan api yang merebak tanpa henti menjadikan insiden ini antara kebakaran paling teruk di wilayah itu dalam tempoh 60 tahun. Operasi memadamkan api berlarutan hingga lewat malam dengan lebih 760 anggota bomba dikerahkan ke lokasi.


Dalam keadaan sangat genting dan angka korban yang terus meningkat, persoalannya  bagaimana kebakaran sebesar ini boleh tercetus dan merebak begitu pantas?

Berikut kronologi kejadian dahsyat yang berlaku di Hong Kong:

Artikel Berkaitan: Gambar Almarhum Tok Guru Nik Aziz Terselamat Meskipun Bangunan Milik PAS Di Kelantan Hangus Terbakar – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Warga Emas Melecur, 2 Unit Rumah Setinggan Hangus Dijilat Api – Lobak Merah

Bagaimana kebakaran mula tercetus? 

hong kong apartment

Kebakaran itu tercetus di Wang Fuk Court iaitu sebuah kompleks pangsapuri besar di daerah Tai Po sekitar jam 2:51 petang waktu tempatan pada hari Rabu. Pada waktu kejadian, beberapa penduduk mendakwa penggera kebakaran langsung tidak berbunyi, menyebabkan ramai terkejut bila api sudah mulai marak.

Siasatan awal mendapati penyebaran api yang sangat luar biasa ini dipercayai dipengaruhi oleh penggunaan styrofoam yang mudah terbakar di bahagian tingkap.

Beberapa rakaman menunjukkan api merebak dengan cepat melalui bamboo scaffolding yang menutupi pangsapuri tersebut. Hal ini kerana, pangsapuri ini dibina pada tahun 1983 jadi difahamkan memang sudah tiba masanya untuk kerja pengubahsuaian dilakukan dengan memasang bamboo scaffolding dan construction netting. 

Kompleks Wang Fuk Court ini terdiri daripada lapan blok yang setinggi 31 tingkat. Namun malangnya, tujuh daripadanya musnah teruk akibat kebakaran yang merebak dengan cepat.

Sejauh mana seriusnya kebakaran ini? 

apartment on fire

Jabatan Bomba Hong Kong telah mengklasifikasikan kebakaran ini sebagai amaran tahap lima, iaitu tahap paling tinggi dalam sistem kecemasan. Hanya dalam tempoh 40 minit selepas ia dilaporkan, status kecemasannya terus dinaikkan ke tahap empat, menjelaskan betapa seriusnya kebakaran yang sedang berlaku pada waktu itu.

Tepat pada jam 6:22 petang, status kecemasan tersebut dinaikkan sekali lagi menjadi tahap lima iaitu bersamaan dengan kira-kira tiga setengah jam kemudian. Kebakaran berskala seperti ini dikatakan berlaku buat kali terakhir pada 17 tahun lalu di Hong Kong.

Menurut BBC, terdapat laporan yang mengatakan bunyi letupan turut didengari dari dalam bangunan dan hos bomba pula sukar untuk mencapai ke tingkat yang paling atas sekali.

Menurut Timbalan Pengarah Perkhidmatan Bomba, Derek Armstrong Chan, kebakaran di pangsapuri tersebut terlalu panas sehingga menyukarkan anggota bomba untuk masuk ke dalam bangunan bagi menjalankan operasi menyelamat.

Bila anggota perlu berdepan dengan serpihan bangunan dan scaffolding yang asyik jatuh, ia menyukarkan mereka untuk jalankan operasi menyelamat,” jelas beliau.

Operasi kecemasan bagi kebakaran kali ini sangat dahsyat yang ia telah melibatkan seramai 767 anggota bomba, 128 jentera bomba, 57 ambulans dan sekitar 400 anggota polis yang diarahkan untuk mengawal dan memadam kebakaran ini.

Namun begitu, disebabkan api yang marak terlalu besar dan bahaya, agak sukar untuk meramal bilakah api tersebut dapat dipadam sepenuhnya meskipun sudah dibantu dengan pasukan bomba lain secara besar-besaran.

Bagaimana pula dengan keadaan mangsa? 

hong kong victims

Menurut laporan media tempatan, pihak polis cuba untuk membantu penduduk mencari ahli keluarga mereka dengan menggunakan pembesar suara. Namun begitu, Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee mengesahkan seramai 279 orang masih belum lagi dijumpai.

Dalam tempoh satu malam sahaja, angka korban meningkat daripada 13 kepada 36 orang, sebelum mencecah 40 dan kemudian 44 pada awal pagi Khamis. Seramai 45 orang juga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Antara mangsa yang terkorban ialah anggota bomba Ho Wai-Ho, 37 tahun yang telah berkhidmat di Balai Bomba Sha Tin selama sembilan tahun. Pihak bomba mengatakan yang mereka telah terputus talian dengannya pada jam 3:30 petang dan kira-kira setengah jam kemudian, beliau ditemui rebah.

Beliau terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Selain itu, laporan media turut mengatakan yang sekurang-kurangnya ada seorang lagi anggota juga berada di hospital untuk menerima rawatan akibat kecederaan.

Penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan 

hong kong pindah

Kerajaan membuka beberapa pusat perlindungan sementara bagi menampung penduduk yang rumahnya terjejas. Salah satu tempat yang dijadikan pusat perlindungan ialah Tung Cheong Street Sports Centre, namun tempat itu dilaporkan penuh sebelum penduduk dipindahkan ke lokasi lain.

Selain itu, enam sekolah di daerah Tai Po juga diumumkan ditutup pada hari Khamis manakala pusat pemantauan dan sokongan kecemasan turut ditubuhkan bagi menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.

Polis Hong Kong juga telah menubuhkan hotline khas untuk membantu orang ramai mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan menyemak keselamatan keluarga mereka.

Tiga suspek ditahan polis 

hong kongggg

Berikutan dengan kejadian ini, polis telah menahan tiga suspek berusia antara 52 tahun hingga 68 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes kematian akibat kecuaian yang menyebabkan kebakaran tersebut.

Dua daripada mereka adalah pengarah sebuah firma pembinaan manakala seorang lagi ialah perunding jurutera.

Penggunaan styrofoam juga didapati digunakan untuk menutupi tingkap-tingkap bangunan, walhal ini adalah bahan yang tidak kalis api, manakala jaring dan bahan pelindung lain di bahagian luar bangunan turut tidak memenuhi piawaian keselamatan.

Namun punca tercetusnya kebakaran masih dalam siasatan. Pihak polis juga berkata yang mereka masih menjalankan siasatan terhadap kegagalan pihak pengurusan syarikat berkenaan.

Kami percaya bahawa pihak bertanggungjawab telah bertindak sangat cuai, menyebabkan kebakaran ini merebak tidak terkawal dan mengakibatkan kematian yang ramai,”

Menurut Sinar Harian, pada waktu kejadian itu juga, kelajuan angin dicatatkan sekitar 14 kilometer sejam turut menyumbang kepada penyebaran api dengan pantas. Ditambah pula dengan adanya penggunaan bahan yang mudah terbakar iaitu styrofoam ini menyebabkan operasi pemadaman bangunan tersebut sukar untuk dikawal.

Kejadian ini menunjukkan bahawa walaupun secara kebiasaannya langkah-langkah keselamatan diambil, tapi kadang-kadang kita tidak mampu untuk jangka sejauh mana sesuatu kebakaran boleh menjadi tragedi.

Sumber: BBC

Sumber: SCMP
Sumber: NPR
Sumber: BBC
Sumber: SCMP

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.