Bagi orang yang telah dijatuhi hukuman mati, biasanya hukuman tersebut tak terus dijalankan. Seseorang itu perlu menunggu giliran mereka yang mungkin mengambil masa berpuluh-puluh tahun.
Jadi, boleh bayangkan tak banduan-banduan yang menunggu masa untuk dijatuhi hukuman ni mesti hidup dorang sangat stress kan? Tambah-tambah lagi kalau orang tu tak bersalah, mesti mengharap akan ada satu keajaiban yang berlaku sebelum hukuman dijatuhkan kan?
Bagi Joe Arridy, keajaiban tersebut malangnya hanya tiba selepas 70 tahun dia dihukum mati. Namun begitu, warden penjara menggambarkan lelaki ini sebagai “lelaki paling bahagia yang pernah hidup di dalam penjara menunggu hukuman mati”. Kalau korang nak tahu kenapa, jom baca kisahnya…
Kematian Dorothy Drain
Pada malam 15 Ogos 1936, ibu bapa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Dorothy Drain telah pulang ke rumah mereka di Pueblo Colorado dan menemui anak mereka terbaring berlumuran darah kerana dipukul di kepala sehingga mati ketika sedang tidur.
Adik Dorothy, Barbara turut dipukul di kepala namun terselamat. Serangan tersebut jelasnya telah menggegarkan kawasan tempat tinggal mereka sehingga media pada ketika itu mengatakan bahawa pembunuh “gila seks” kini sedang mengganas dan pihak polis sedang mencari seorang lelaki menyerupai orang Mexico seperti yang digambarkan oleh dua orang wanita yang turut mendakwa menjadi mangsa pembunuh tersebut.
Ekoran ini juga, pihak polis telah mendapat tekanan dari pelbagai pihak untuk menangkap pembunuh tersebut dan ini menyebabkan Syerif George Carroll lega apabila Joe Arridy yang ditemui berkeliaran tanpa arah tuju di landasan kereta api telah mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
Penangkapan Joe Arridy
Ibu bapa Joe Arridy merupakan pendatang dari Syria, ini menyebabkan lelaki ini mempunyai kulit yang gelap seperti yang digambarkan oleh dua orang wanita sebelum ini.
Selain dari itu, ibu bapa Joe Arridy juga merupakan sepupu dan mungkin ini menyebabkan lelaki ini mempunyai kecacatan mental. Beberapa adik beradiknya juga telah meninggal muda dan salah seorang abangnya juga dikatakan mempunyai masalah yang lebih kurang sama seperti Joe Arridy.
Arridy pernah ditahan di Rumah Negeri Colorado dan Sekolah Latihan untuk Gangguan Mental di Grand Junction ketika dia berusia 10 tahun dan sering keluar masuk di tempat tersebut sebelum akhirnya melarikan diri ketika dia berusia 21 tahun.
Arridy mempunyai masalah percakapan di mana dia bercakap sangat perlahan, tak boleh membezakan warna serta mempunyai masalah untuk mengulang semula sesuatu ayat yang mempunyai lebih dari dua perkataan.
Malah, penjaga di rumah negeri juga mengatakan kanak-kanak di sana sering mempergunakan lelaki ini dan pernah menyuruh dia untuk mengaku mencuri rokok walaupun dia tak buat.
Disebabkan ini, Syerif Carrol telah menggunakan kelemahan Arridy untuk mendapatkan pengakuannya. Malah, semasa perbicaraan, Arridy telah disoal dengan soalan yang memerangkap dirinya dan ini menyebabkan testimoninya berubah-ubah bergantung kepada orang yang menyoalnya.
Tak cukup dengan itu, Arridy turut tak tahu apa-apa butiran tentang pembunuhan dan perbicaraan tersebut sehingga diberitahu seperti senjata pembunuhan yang digunakan merupakan sebilah kapak.
Selain dari itu, semua yang terlibat dalam perbicaraan tersebut juga sepatutnya sedar bahawa lelaki ini tak bersalah. Ini kerana, pembunuh sebenar, Frank Aguilar, seorang lelaki Mexico telah ditemui bersalah atas pembunuhan ini selepas dikenalpasti oleh Barbara Drain.
Namun begitu, pihak berkuasa tetap yakin bahawa Aguilar dan Arridy merupakan rakan subahat di dalam jenayah tersebut. Disebabkan ini, walaupun selepas tiga pakar psikiatri telah mengesahkan bahawa Arridy mempunyai kecacatan mental dan IQ sebanyak 46, dia telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.
Hukuman Joe Arridy
Asas untuk mempertahankan Joe Arridy adalah lelaki ini tidak waras jadi tak boleh membezakan di antara benda yang salah atau betul. Disebabkan ini, dia tak boleh membuat apa-apa tindakan dengan niat untuk membuat jenayah.
Disebabkan Arridy mempunyai masalah untuk membezakan perkara-perkara mudah seperti batu dan telur, ia merupakan satu benda yang sukar untuk lelaki ini memahami konsep mati.
Warden penjara, Roy Best melaporkan bahawa Joe Arridy merupakan seorang lelaki yang paling bahagia ketika menunggu hukuman mati dan bila dia diberitahu tentang hukuman mati yang akan datang, Arridy lebih berminat untuk bermain dengan mainan kereta apinya.
Kemudian, bila ditanya makanan apa yang dia mahukan untuk makanan terakhirnya, lelaki ini memilih aiskrim.
Pada 6 Januari 1939, selepas dengan gembiranya menyerahkan mainan kereta api kesayangannya ke banduan lain, Arridy telah di bawa ke bilik gas di mana lelaki ini sempat tersengih ketika pegawai penjara mengikat dia di kerusi. Proses tersebut berjalan dengan lancar namun dilaporkan, Warden Roy Best sempat menangis melihat Arridy menjalani hukumannya.
Akhirnya, hampir tujuh dekad selepas hukuman dijatuhkan, Gabenor Colorado, Bill Ritter telah memberikan pengampunan selepas kematian dengan mengatakan:
Mengampunkan Arridy tak boleh mengubah perkara tragik yang berlaku dalam sejarah Colorado. Ia demi kepentingan keadilan dan bagi mengembalikan semula nama baiknya.”
Sumber: ati