Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menyifatkan kerajaan pusat seolah-olah menganaktirikan negeri Johor meskipun negeri di selatan Malaysia itu telah banyak memberikan sumbangan dalam ekonomi negara.
Menurut laporan Sinar Harian, baginda bertitah Johor pernah menyumbang hasil lebih RM13 billion setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.
Pun begitu, baginda menzahirkan rasa sedih apabila kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur di Johor tidak dilakukan oleh pihak kerajaan Persekutuan.
“Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.
Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yg rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.
“Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” titah baginda.
Baginda bertitah sedemikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, pada Khamis lepas.
Baca: Sultan Johor Perkenan Saf Solat Jemaah Dirapatkan Kepada Setengah Meter Bermula Jumaat Ini