Kita semua tahu bila dah masuk hujung tahun ni, mesti akan berlaku musim hujan yang berterusan. Hampir setiap hari hujan turun tanpa henti dan hampir kesemua negeri mula terkesan dengan cuaca yang semakin tak menentu.
Menurut MetMalaysia, amaran cuaca turut dikeluarkan bagi negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan yang dijangka akan mengalami hujan sangat lebat serta berterusan.
Dalam keadaan macam ni, tak pelik kalau musibah banjir berlaku secara drastik. Jadi, kalau korang nak tahu apa tips keselamatan bila berlakunya banjir, boleh teruskan baca artikel di bawah.
Artikel Berkaitan: Banjir Hatyai: ICQS Sesak, Rakyat Malaysia Berpusu-pusu Pulang Ke Tanah Air – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Banjir Di Hatyai: 36 Pelajar Dan 4 Pensyarah UUM Antara Yang Terkandas – Lobak Merah
1. Sentiasa mengikuti perkembangan keadaan banjir

Cuaca boleh berubah dengan sangat cepat, terutamanya ketika musim hujan pada hujung tahun. Pada awalnya mungkin akan nampak macam hujan biasa, namun bila hujan yang lebat berterusan tanpa henti ni lama-lama boleh menyebabkan risiko banjir kilat berlaku.
Jadi, korang disarankan untuk sentiasa peka dan ambil tahu keadaan di kawasan sekitar perumahan korang. Antara sumber rasmi yang korang boleh ikuti adalah seperti MetMalaysia, NADMA dan pihak berkuasa tempatan selain info semasa menerusi orang awam di media sosial.
Amaran dan info semasa yang dikeluarkan biasanya akan merangkumi amaran cuaca, paras air sungai, jalan yang ditutup serta arahan berpindah jika perlu. Dengan cara ni, korang boleh dapat info terkini dalam masa yang sebenar supaya boleh buat persediaan awal kalau keadaan mula memburuk.
2. Elakkan sentuh barangan elektronik

Bila sedang berlakunya banjir, perkara paling penting korang kena tahu adalah elakkan daripada sentuh barangan elektronik yang dah terkena air.
Peralatan seperti televisyen, peti sejuk, kipas atau pengecas yang masih bersambung dengan sumber kuasa boleh menjadi sangat berbahaya kerana berpotensi menyebabkan renjatan elektrik yang serius.
Sebelum air mula naik, pastikan semua peralatan elektronik dicabut daripada soket dan dimatikan sepenuhnya. Jangan sesekali cuba menghidupkan atau menggunakan peralatan yang basah sebab walaupun nampak selamat, arus elektrik boleh bergerak melalui air dan membahayakan sesiapa sahaja yang menyentuhnya.
Ingat, air dan elektrik tidak boleh digabungkan, jadi lebih baik kita sentiasa berjaga-jaga daripada menyesal kemudian.
3. Minum air masak atau air yang berbungkus

Pastikan korang minum air masak yang direbus atau air yang dibungkus sahaja. Walaupun ada sesetengah merasakan semua air adalah air yang sama, ia tetap berpotensi mengandungi kuman, bakteria atau bahan tercemar yang boleh menyebabkan penyakit seperti cirit-birit, demam dan masalah perut lain.
Macam mana sekalipun, pastikan air yang korang minum tu diambil dari air botol atau air yang sudah dimasak. Jika perlu, rebus air terlebih dahulu sebelum diminum serta elakkan minum terus dari paip, sungai atau sumber air yang belum disahkan bersih oleh pihak berkuasa.
Langkah ini adalah langkah yang paling penting untuk memastikan ahli keluarga korang selamat di samping menjaga kesihatan mereka pada waktu yang kritikal.
4. Segera berpindah sekiranya terdapat risiko banjir kilat

Perkara yang paling penting sekali adalah bila dah nampak tanda-tanda air mula naik serta adanya risiko banjir kilat di kawasan perumahan korang, sangat disarankan untuk korang segera berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Kalau banjir kilat dah mula berlaku, jangan panik. Segera lindungi diri dan keluarga korang dengan pindahkan dokumen penting ke tempat tinggi dan simpan barangan berharga dalam bekas yang kalis air.
Pastikan juga korang berada di kawasan yang selamat, jauh daripada kawasan arus yang deras dan awasi ahli keluarga terutamanya kanak-kanak, warga emas serta haiwan peliharaan.
5. Awasi kanak-kanak dan elakkan daripada bermain dengan air banjir

Semasa banjir, keselamatan kanak-kanak perlu diberi perhatian yang lebih. Kadang-kadang, bila orang sibuk nak berpindah atau uruskan barang, kanak-kanak cenderung nampak air banjir macam menyeronokkan dan akan main-main tanpa cakna bahayanya musim banjir.
Sebab itulah penjaga atau ibu bapa perlu sentiasa awasi mereka dan pastikan kanak-kanak berada di kawasan yang selamat sebelum kawasan air semakin naik. Arus deras yang tak nampak di permukaan pun boleh heret kanak-kanak tanpa disangka.
Air banjir ni bukan sahaja kotor dan mengandungi sisa kimia, tapi ia juga terkandung najis dan serpihan tajam yang kita tak nampak. Kadang-kadang tanpa disangka, ada juga binatang yang membahayakan seperti ular dan buaya di kawasan tertentu.
Dengan memastikan kanak-kanak berada jauh dari air kotoran banjir, korang bukan saja boleh memastikan mereka jauh daripada perkara-perkara bahaya, tetapi juga risiko jangkitan dan ancaman haiwan liar yang mungkin muncul ketika air naik.
6. Jangan kembali ke rumah tanpa arahan pihak berkuasa
Walaupun banjir mula surut, jangan sesekali kembali ke rumah sebelum mendapat arahan daripada pihak berkuasa. Kawasan yang baru dilanda banjir mungkin masih berbahaya kerana struktur rumah, jalan atau jambatan boleh rosak bila-bila masa saja tanpa kita sedar.
Selain itu, air yang sudah memasuki dalam rumah boleh mengandungi pelbagai kotoran, bahan kimia dan kuman yang boleh memberi risiko kesihatan.
Oleh itu, kita disarankan untuk tunggu pihak berkuasa memastikan kawasan tersebut selamat terlebih dahulu barulah boleh kita bertindak untuk berpindah semula.
Secara kesimpulannya, kita memang tak boleh nak jangka dan elak daripada banjir berlaku setiap tahun. Apa yang penting, kita perlu sentiasa bersedia, peka dan utamakan keselamatan diri serta keluarga.
Walaupun musim banjir bukanlah perkara yang asing bagi kita, tapi langkah-langkah berjaga inilah yang boleh memastikan keselamatan korang terjamin.
Sumber: MKN

