Seperti tiada tanda-tanda untuk reda, kes faraid yang melibatkan balu arwah Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali dan keluarga arwah semakin mendapat perhatian netizen.
Sejak daripada awal lagi kes ini muncul, kita sendiri dapat lihat beberapa pihak terutamanya ejen insuran telah mengambil kesempatan untuk jadikan kes ini sebagai modal bagi mereka lariskan jualan.
Menurut mStar, hal tersebut telah menarik perhatian peguam syariah yang dilantik Nor Hidayah, Fadhlina Siddiq untuk menegur sikap keterlaluan sebilangan ejen insuran tersebut yang menggunakan kes anak guamnya sebagai modal pemasaran.
“Ejen-ejen takaful dan hibah, jangan ambil kesempatan atas kes-kes begini! Buat marketing tak ada asas dan fakta… menggunakan kesusahan dan penderitaan orang lain.
“Apa yang mereka lakukan ini tak baik dan salah daripada segi moral… hentikan tindakan tersebut dan beri ruang untuk proses keadilan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menerusi beberapa perkongsian di Facebook, memang jelas dapat anda semua lihat dakwaan peguam Hidayah itu ada benarnya juga. Kebanyakan daripada ejen insuran ini menggunakan kes faraid yang dihadapi Hidayah sebagai ‘kes contoh’.
Dalam pada itu, Fadhlina juga sempat berpesan kepada netizen supaya tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai kes tuntutan yang melibatkan Hidayah dan keluarga mentuanya.
Sama-sama kita doakan yang terbaik buat Hidayah dan keluarga mentuannya. Semoga kes ini dapat diselesaikan dan tidak lagi berpanjangan.