Sukan badminton merupakan antara sukan yang paling diminati di Malaysia, ia berkemungkinan kerana atlet sukan tersebut dari negara kita amat digeruni di pentas dunia sejak tahun 1970-an.
Antara nama yang terukir dalam lipatan sejarah sukan badminton adalah Misbun Sidek, siapa sahaja yang tidak kenal dengan pemain badminton lagenda ini kan?
Pun begitu, buat 90’s babies mesti ramai yang tidak begitu kenal dengan sosok yang merupakan anak lelaki sulung Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar dan yang paling tua dalam kalangan ‘Anak-anak Sidek’ yang sangat lejen!
Menyerlah sejak usia 7 tahun
Mohmed Misbun bin Dato’ Haji Mohd Sidek dilahirkan pada 17 Febuari 1960 dan merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik.
Bapanya Allahyarham Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar mempunyai visi untuk melihat anak-anaknya menjadi jaguh badminton dan Misbun menjadi ‘eksperimen’ pertamanya.
Ketika usianya mencecah tujuh tahun iaitu pada 1967, Misbun sudah mula dilatih secara serius oleh bapanya di gelanggang badminton yang terletak bersebelahan rumah mereka di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor.
Menjadi ‘lejen’ badminton negara
Selepas pertama kali menjuarai kategori bawah-18 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di usia 16 tahun, beliau terpilih ke Terbuka Asia di Hong Kong sebelum ke Terbuka Australia (Silver Bowl) dan ketika usianya baru mencecah 18 tahun, beliau dipanggil menyertai skuad Piala Thomas.
Misbun kemudian merangkul kejuaraan pertamanya di Terbuka Jerman diikuti dengan kemenangannya di Sukan Sea 1981, selain bergelar juara kebangsaan dan kejayaan itu melayakkannya bergelar Olahragawan Kebangsaan 1981.
Stadium Negara menjadi saksi pendakian kerjaya Misbun Sidek, ketika final Piala Dunia pada tahun 1982 dimana beliau merangkul pingat perak, beliau beraksi dengan sangat cemerlang dan berjaya menundukkan nama-nama besar ketika itu seperti Luis Pongoh dari Indonesia, Morten Frost Hansen (Denmark) dan Prakash Padukone (India).
Setahun kemudian, Misbun muncul juara Terbuka Jerman, Sweden, Kanada, separuh akhir Piala Dunia dan tempat ketiga Kejohanan Grand Prix Dunia.
Pada 7 Oktober 1983, Misbun menempa sejarah sebagai pemain pertama Asia Tengara dan kedua Asia selepas jaguh India, Prakash Pradukone menjadi pemain profesional di bawah International Management Group (IMG).
Pengiktirafan itu suatu yang besar kerana Misbun kini setaraf dengan bintang antarabangsa lain di bawah IMG seperti Bjorn Borg, Jimmy Connors, Jack Nicklaus, Arnold Palmer, Sebastian Coe dan Alberto Salazar.
Persaraan yang berat
Tahun 1984, Misbun Sidek mengejutkan ramai apabila beliau mengambil keputusan untuk menunaikan haji di Mekah pada usia 24 tahun.
Apa yang menyedihkan, pada 30 September 1984, Misbun tiba-tiba terkena penyakit yang disebabkan kekeringan air dalam badan ketika berada di Mekah dan ia menggemparkan keluarga serta peminat badminton negara.
Misbun masih mampu menyinar di pentas antarabangsa dengan gelaran terakhir dicapai pada 1988 selaku naib juara Piala Thomas dan setahun kemudian, Misbun mengambil keputusan untuk bersara walaupun hatinya masih kuat untuk bermain namun keadaan fizikalnya tidak mengizinkan.
Misbun menjadi jurulatih perseorangan lelaki pasukan kebangsaan dari 2003 hingga 2010 dan beliau juga bertanggungjawab melatih pemain terbaik Malaysia Lee Chong Wei untuk menjadi pemain perseorangan lelaki pertama yang memenangi semua gelaran Super Series dan pingat perak dalam Sukan Olimpik dan All-England.
Melentur pelapis sukan badminton
Beliau kini merupakan jurulatih dan pengarah pasukan junior skuad badminton negara dan setakat ini kita dapat lihat pemain-pemain berbakat besar seperti Haikal Nazri, Wan Arif Junaidi, Hoo Pang Ron dan Chen Tang Jie.
https://www.instagram.com/p/Ch1IJuQLUGs/
Sumber: Arkib Negara, Facebook
Terima kasih Misbun Sidek!
Baca: Aaron Chia & Soh Wooi Yik Tewaskan Beregu Indonesia, Genggam Emas Kejohanan Badminton Dunia Di Jepun