Kehadiran cahaya mata selalunya disambut dengan gembira bagi pasangan suami dan isteri. Namun begitu, lain pula jadinya kepada seorang wanita ini yang dibuang suami sebaik sahaja dia selamat melahirkan pasangan kembar kelima mereka gara-gara jumlah anak mereka kini terlalu ramai.
Memetik laporan Daily Star, Nalongo Gloria yang berasal dari Uganda, baru sahaja melahirkan anak kesembilan dan kesepuluh hasil pernikahan dengan suaminya yang dikenali sebagai Ssalongo.
Pun begitu, sebaik sahaja pasangan kembar itu lahir, suaminya terus meninggalkannya dan anak-anak mereka.
“Dia kata saya tak normal. Masa saya mengandung lagi dia dah beritahu akan hantar saya ke rumah ibu bapa saya,” katanya.
Untuk pengetahuan, kelahiran kembar ini merupakan pasangan kembar kelima yang pernah dilahirkan Nalongo. Sebelum ini, dia dan suaminya sudah mempunyai anak kembar seramai lapan orang.
Meskipun berdepan kesukaran, Nalongo berkata, dia tak sanggup meninggalkan anak-anaknya begitu saja. Jelasnya, walaupun dia sedar suaminya tidak mahukan anak-anaknya yang ramai itu, wanita terbabit tak pernah menyesal mengandung dan melahirkan mereka dan percaya Tuhan akan membantunya.
Tambah Nalongo lagi, anak-anaknya yang lebih berusia sudah meninggalkan rumah. Tetapi, wanita itu kini sedang berdepan kesukaran mencari kediaman baru buat keluarganya selepas tuan rumahnya tidak mahu ada kena mengena lagi dengan dirinya dan anak-anaknya yang ramai.
Sumber: Daily Star
Baca: Mendapat Gelaran ‘Wanita Paling Subur’, Ibu Berumur 40 Tahun Ini Mempunyai Lebih 40 Orang Anak!