in

“Isu apa sebenarnya ni?” – Kronologi Projek Kampung Sg Baru Yang Korang Patut Tahu

Untitled design 22

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Hampir setiap tahun, isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur menjadi perbualan yang hangat. Lagi lama didengar, lagi terasa rumitnya, seakan-akan ada unsur penindasan terhadap penduduk yang enggan berpindah. Baru-baru ini juga, kita semua menyaksikan sendiri detik-detik pengusiran berlaku di Kampung Sungai Baru.

Tapi persoalannya, apa sebenarnya yang terjadi di sebalik projek pembangunan Kampung Sungai Baru?


Idea dari penduduk 

Difahamkan bahawa kisah pembangunan semula Kampung Sungai Baru ni sebenarnya bermula daripada penduduk sendiri. Pada tahun 2016, mereka mula merasakan rumah yang mereka duduki semakin uzur dan baki pajakan tanah yang kian suntuk menuntut kepada satu perubahan.

Oleh demikian, berlakulah penubuhan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru yang dipengerusikan oleh Sanita Yunus, dengan misi mencari pemaju yang boleh membawa nafas baharu kepada komuniti ini.

Daripada inisiatif itu juga, lahirlah cadangan projek mega KL City Gateway yang melibatkan kawasan seluas hampir 8 ekar. Penduduk pada mula berharap bahawa kehidupan mereka lebih moden tanpa perlu meninggalkan tanah mereka yang asal.

Namun, itulah detik perpecahan mula tercetus. Daripada 328 pemilik hartanah, seramai 219 pemilik (66.77%), terdiri daripada 27 pemilik teres dan 192 pemilik flat bersetuju dengan cadangan pembangunan semula. Manakala 109 pemilik lain (33.23%), iaitu 37 pemilik teres dan 72 pemilik flat, memilih untuk menentang.

Selepas beberapa siri libat urus oleh pemaju, jumlah persetujuan meningkat kepada 291 pemilik (88.72%), melibatkan semua 264 unit flat dan 27 lot teres. Baki 37 lot teres tetap kekal tidak bersetuju, dan inilah kumpulan yang menjadi tumpuan konflik sehingga hari ini, menurut kenyataan media rasmi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Artikel Berkaitan: “Perbuatan keji” – PMX Beri Peringatan Susulan Insiden OCPD Dang Wangi Cedera Dibaling Batu – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Saya mungkin salah, tapi..” – Rafidah Ibrahim Tegas Ada Sebab Berpolitik Untuk #JusticeforZara – Lobak Merah

Tawaran daripada kerajaan 

Meskipun mendapat penentangan yang hebat, proses mencari pemaju tetap dijalankan dan beberapa taklimat telah dianjurkan.

Pada tahun 2019, Pakatan Harapan, iaitu kerajaan pada waktu itu, mengemukakan pelan yang lebih besar iaitu membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh, termasuklah Kampung Sungai Baru. Dalam rundingan tersebut, kerajaan telah menawarkan pampasan sekitar RM850 psf, kemudian dinaikkan menjadi RM1,000 psf, mengikut laporan Berita Harian.

Berlaku pertukaran kerajaan 

protes kampung baru

Pada sekitar tahun 2020, disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan iaitu daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, kerajaan telah membatalkan tawaran RM1,000 psf kepada RM400 psf tanpa membuat sebarang rundingan.

Hal ini menyebabkan semua penduduk terkejut kerana kerajaan sebelumnya telah menjanjikan tawaran nilai yang lebih tinggi, namun seolah-olah ditarik semula nilai tersebut.

Pada tahun 2021, kerajaan telah mengeluarkan warta pengambilan tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah. Notis tersebut dihantar kepada penduduk pada waktu PKP masih dijalankan, di mana rakyat tidak dibenarkan keluar rumah.

Jadi, penduduk merasakan proses tersebut tidak telus dan merasakan memihak kepada pemaju dan bukan mereka sebagai penduduk dan pemilik tanah yang sah.

Oleh demikian, pemaju pun menawarkan pampasan yang lebih tinggi iaitu RM850 psf, meskipun kerajaan menilaikan tanah pada kadar RM400 psf. Pemilik rumah teres menerima pampasan antara RM1 juta hingga RM3.8 juta seunit, bergantung kepada keluasan rumah. Penduduk flat pula ditawarkan penempatan sementara tanpa bayaran sewa, cuma perlu menanggung kos utiliti.

Walau bagaimanapun, sebahagian kecil penduduk, terutamanya pemilik flat masih tidak bersetuju. Antara faktor utama adalah perbezaan pandangan dalam kalangan pemilik, terutama soal pampasan dan pembahagian faraid. Perkara ini menyebabkan berlakunya protes penentangan kepada pengambilan tanah mereka serta arahan pemindahan.

Permohonan injunksi 

Menurut TheMerdekaTimes, kumpulan minoriti ini telah memfailkan permohonan injunksi interim bagi menghalang pengosongan dan perobohan rumah tanpa perintah mahkamah yang sah.

Walau bagaimanapun, permohonan injunksi tersebut ditolak oleh mahkamah, selepas beberapa pemohon menarik diri daripada kes tersebut. Pemohon yang masih terlibat diarahkan membayar kos kepada pemaju. Pemaju turut menuntut ganti rugi terhadap kelewatan projek, yang dianggarkan mencapai lebih setengah juta ringgit, ekoran tempoh penangguhan yang diberikan tidak dipatuhi sepenuhnya.

Status terkini 

kampung baruu

Jadi, projek Kampung Sungai Baru ini telah pun melalui beberapa Menteri Wilayah Persekutuan yang silih berganti.

Mengikut Menteri Wilayah Persekutuan terkini, Dr. Zalihi Mustafa berkata keputusan operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru ini bukan keputusan beliau sendiri, dan sebaliknya adalah hasil proses perundangan yang telah diputuskan oleh mahkamah dan wajib dipatuhi.

“Keputusan ini bukan dibuat sendiri tetapi melalui mahkamah. Bila mahkamah sudah keluarkan perintah, ia perlu dilaksanakan dan penjawat awam tidak boleh dihalang daripada melaksanakan tugasan mereka.

“Mereka yang tidak bersetuju pula telah menerima pampasan. Kalau masih tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan, saluran undang-undang iaitu mahkamah tetap terbuka,” katanya kepada pemberita

Difahamkan juga seawal pagi 11 September 2025, polis telah menutup semua laluan masuk ke Kampung Sungai Baru dan pihak media juga dihalang untuk membuat liputan, bagi tujuan mengosongkan baki 37 rumah yang masih diduduki.

Namun, situasi bertukar menjadi lebih kecoh apabila ada penduduk yang melawan sehinggakan berlakunya adegan membaling objek.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman didapati cedera di kepala akibat terkena balingan batu oleh individu yang tidak dikenali menyebabkan FRU turut diminta untuk mengawal keadaan.

Kumpulan majoriti penduduk di kawasan berkenaan dikatakan telah bersetuju dengan projek pembangunan semula. Dr. Zalihi Mustafa turut mewartakan rasa kesal beliau dengan insiden yang telah berlaku.

“Saya amat kesal dengan insiden yang berlaku, walaupun kerajaan telah bekerjasama rapat dengan pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih ada provokasi yang tidak dijangka.

“Saya berharap semua pihak mengambil serius isu keamanan negara dan tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan provokasi serta menggugat keharmonian,” katanya.

Polis juga memberi amaran tegas kepada pihak yang sengaja mencetuskan provokasi ini demi menjayakan operasi pengosongan Kampung Sungai Baru.

“Pengosongan ini perlu dibuat hari ini apa cara sekalipun. Kalau ada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan, saya akan lawan habis-habisan.

“Saya tidak akan benarkan perkara seperti ini berlaku,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus kepada media.

Operasi pengosongan ini juga dikatakan adalah percubaan kedua sejak Julai oleh pihak berkuasa untuk mengusir 14 penduduk di kawasan tersebut.

Sudah hampir 10 tahun projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru ini diwartakan, namun perkara ini masih sukar untuk diselesaikan.

Dengan kerajaan bersilih ganti, penduduk yang berbelah-bahagi, serta melibatkan proses undang-undang yang rumit, setiap langkah yang dihadapi oleh penduduk seakan seperti menyertai halangan baru.

Semoga akhirnya wujud titik tengah yang mampu menjaga kepentingan semua pihak tanpa membebankan mana-mana pihak.

Sumber: MalaysiaKini, MalaysiaGazette, eBantuan, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.