Seorang isteri yang menunggu mesej daripada suaminya sehingga terlelap berakhir apabila dimaklumkan lelaki itu maut dalam nahas kemalangan pada tengah malam, Rabu.
Mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, maut kerana parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara.
Difahamkan, kemalangan pada jam 12.20 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda CBR ditunggang mangsa, bas, lori muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.
Artikel berkaitan: “Telefon berdering tertera ‘My Lovely Wife’” – Saksi Kemalangan Menangis Sampaikan Berita Kemalangan Maut
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum bas itu melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.
Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.
“Selepas perlanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan,” katanya.
Mesej tak dijawab
Isteri kepada mangsa iaitu Nur Izzaty Abd Jalil, 35 berkata suaminya dalam perjalanan pulang ke Johor susulan akan memulakan kerjanya semula di Singapura selepas bercuti lama sempena Tahun Baharu Cina.
“Arwah dari rumah kami di Rawang, Selangor dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.
“Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej, tidak ada. Jadi saya mesej tanya… abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Sementara menunggu itu sampai saya tertidur,” katanya.
Suami nampak sugul
Ujar Nur Izzaty, sebelum kejadian, arwah suaminya kelihatan sugul seperti tidak mahu balik.
“Sebelum kejadian kami berkesempatan bercuti bersama sampai arwah tambah cuti dua hari iaitu Isnin dan Selasa yang mana sepatutnya dia pulang ke Johor pada hari Ahad,” katanya yang arwah akan pulang setiap minggu ke Rawang.
Menurut sumber, jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buaya, Rawang Selangor selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Rembau.
Sumber: Sinar Harian