Kes perbicaraan pengabaian kanak-kanak autistik Zayn Rayyan diteruskan dengan saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bahawa Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik itu gagal menjawab pertanyaan pihak polis ketika keterangannya diambil pada 5 Disember 2023.
Saksi pendakwaan kelima (SP5), Asisten Superintenden Nor Zaharuddin Sanip, 42, berkata, beliau telah mengajukan beberapa soalan kepada Ismanira sejurus tiba di lokasi kejadian pada jam 10.30 malam.
Nor Zaharuddin memaklumkan demikian ketika pemeriksaan balas daripada Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Artikel berkaitan: Polis Rakam Keterangan Ismanira Susulan Viral Video Pimpin Tangan Zayn Rayyan
Aqharie: Berdasarkan soalan peguam ketika kamu sampai, Inspektor Nina (Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin) mula ambil keterangan pengadu iaitu Ismanira, kamu jawab tidak setuju, boleh terangkan?
Nor Zaharuddin: Semasa saya sampai, Inspektor Nina berada dalam kereta MPV (kenderaan peronda polis) sedang ambil rakaman percakapan dan kemudian saya ada tanya ibu Zayn Rayyan macam mana hilang, bagaimana kejadian berlaku dan apa Zayn Rayyan minat, dia tidak dapat jawab, jadi saya arahkan Inspektor Nina untuk teruskan rakaman percakapan dalam kereta.
Dalam prosiding itu, saksi juga berkata, pembabitan beliau hanya untuk pencarian orang hilang sahaja iaitu Zayn Rayyan dan tiada suspek dikenal pasti ketika itu.
Aqharie: Disoal peguam, setiap penghuni Blok R adalah suspek, ASP jawab betul, boleh terangkan apa siasatan ASP?
Nor Zaharuddin: Saya keliru sebab pembabitan saya adalah cari Orang Hilang, saya ditugaskan cari Zayn Rayyan saja, tiada suspek, cuma soalan peguam saya ingat dia tanya selepas diambil alih ASP Hafizee.
Aqharie: Untuk siasatan ASP, adakah setiap penghuni adalah suspek?
Nor Zaharuddin: Tiada suspek, kami hanya lakukan pencarian saja
Pendakwa pinda tuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan
Hari ini, Mahkamah Sesyen membenarkan pemindaan pertuduhan pengabaian dihadapi kedua ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan perkataan ‘kawasan Blok R, Apartment Idaman’ dan ‘kawasan sungai berdekatan’.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan.
Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian