Seorang pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu yang didakwa membunuh diri pada Ogos lepas tidak pernah dibuli, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Tan Sri Borhan Dollah.
Menurut laporan, pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dr Tay Tien Yaa mendapati tiada bukti yang menyokong dakwaan bahawa mendiang dizalimi ketua jabatannya seperti yang tular tahun lalu.
Jelas Borhan, tiada bukti yang menunjukkan bahawa mendiang ketika hayatnya menanggung beban akibat dipaksa melakukan kerja di luar skop atau permohonan pertukaran ke Semenanjung Malaysia diabaikan.
Artikel berkaitan: Kes Buli Hingga Sebabkan Kematian ‘Influencer’, Seorang Wanita Ditahan
Tak paksa buat kerja di luar skop
Katanya lagi, dapatan itu adalah berdasarkan temubual dengan 19 saksi membabitkan empat ahli keluarga mendiang, 11 kakitangan Hospital Lahad Datu serta empat saksi lain.
Jawatankuasa bebas itu juga sudah menyemak 41 dokumen termasuklah gambar dan video di dalam inkuirinya ke atas kematian Doktor Tay.
Ujarnya, mendiang selaku Timbalan Ketua Jabatan 1 bertanggungjawab menguruskan perolehan dalam isu penjagaan stor dan sebagainya dan siasatan tidak menemukan sebarang isu berkaitan bahawa mendiang dihubungkan dengan kerja yang terlalu banyak atau di luar skop kerjanya.
“Hasil daripada penyiasatan, kita dapati bahawa tugasan yang dilakukan mendiang adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai skop tugasan, tidak ada satu pun yang satu-satunya kita dapati di luar skop atau luar bidang tugas beliau.”
Dakwaan Ketua Jabatan menindas tidak benar
Mengenai isu kedua yang mendakwa mendiang dibebani sebagai tempat rujukan pegawai perubatan yang diluar bidang kerjaya, pihaknya yang menjalankan siasatan tidak menemui sebarang bukti berhubung perkara itu.
“Ketiga adalah isu berkaitan dakwaan menyatakan ketua jabatan (Patologi) tidak bertindak sebagai pemimpin dan menindas serta menzalimi mendiang ketika bertugas.”
Siasatan menunjukkan tidak timbul perkara sedemikian dan mereka bekerja secara profesional, berdasarkan temu bual rakan lain, pegawai bawahan dan sebagainya.
Jelasnya, mendiang bersama kakitangan jabatan itu bekerja sebagai satu pasukan yang baik, sentiasa berhubungan dan saling membantu dalam kerja masing-masing.
Terdahulu, ahli keluarga pakar perubatan patologi yang meninggal dunia pada 29 Ogos 2024 itu mendakwa buli mungkin antara faktor menyebabkan kematian mendiang.
Sumber: Harian Metro