Keselamatan amat penting di mana sahaja kita berada kerana apa juga bentuk kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Terbaru, tiga orang mengalami kecederaan ringan apabila seorang polis bantuan lelaki terlepas tembakan ketika sedang membuat urusan di sebuah bank di Jasin, Melaka.
Menurut laporan Astro AWANI, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi, berkata pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah hari semalam.
Artikel berkaitan: Tular Video Kejadian Tembak Menembak Di Kepong, Suspek Berjaya Larikan Diri
Artikel berkaitan: Anggota Polis Berpangkat Sarjan Ditemui Maut Dengan Kesan Tembakan Dalam Balai Polis
Difahamkan, individu tersebut berusia 59 tahun dan merupakan seorang polis bantuan yang pergi ke bank berkenaan untuk urusan gaji pekerjanya, secara tidak sengaja dia terlepaskan tembakan ke arah lantai premis berkenaan.
“Tembakan itu menyebabkan seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 25 tahun mengalami luka kecil di bahagian atas telinga kanan.
Manakala dua perempuan masing-masing berusia 28 dan 46 tahun mengalami kecederaan ringan dan luka kecil di bahagian paha dan betis kaki kiri disebabkan terkena serpihan batu mozek lantai bank tersebut,” katanya.
Menurut Ahmad Jamil Radzi, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 196, pihak polis turut merampas senapang Vinwinchester model 1200 GA 2.3 chamber siri L 1207477 berserta kelongsong peluru.
Selain itu, saksi yang berada berdekatan dengan tempat kejadian berkongsia dia pada mulanya bersangka ada rompakan bank yang sedang berlaku selepas terdengar bunyi tembakan tersebut.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi satu tembakan kuat dari arah belakang dan saya sangka bank sedang dirompak.
Namun saya ternampak seorang polis bantuan dalam keadaan tergamam sambil terlihat lantai jubin bank pecah dipercayai kerana tembakan itu,” katanya.
Saksi itu berkata dia melihat polis bantuan itu masih dalam keadaan terkejut sebelum kakitangan bank meminta pelanggan keluar dari premis itu.