Seorang wanita berusia 20-an yang juga seorang influencer media sosial direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut, susulan barang milik pengadu yang didakwa hilang.
Polis terdahulu menerima laporan daripada bekas madu wanita itu pada jam 9.47 malam kelmarin, yang mendakwa rumahnya telah dipecah masuk pada jam 11.30 malam, 22 Julai lalu.
Artikel berkaitan: Kes Buli Hingga Sebabkan Kematian ‘Influencer’, Seorang Wanita Ditahan
Artikel berkaitan: Kieda Crepe Respon Kecaman Netizen, Dituduh Suka Menunjuk Punca Rumah Dipecah Masuk Hingga Rugi RM800K
Pengadu menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati pintu gelongsor (sliding door) hadapan dalam keadaan terbuka.
Pemeriksaan mendapati ada beberapa barangan didapati hilang dan pengadu juga menemui satu beg plastik ubat di atas meja di dalam biliknya yang tertulis nama wanita yang dikenali olehnya dan suami.
Menurut pihak polis, suspek mengaku memecah masuk ke dalam rumah semasa ketiadaan pengadu. Polis turut menemui kesan umpilan pada pintu jeriji keselamatan dan pintu cermin hadapan rumah.
Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok yang memaparkan wanita berkenaan dengan bekas madunya bercerita mengenai kisah rumah tangga mereka.
Wanita itu mendakwa sering dikasari oleh bekas suaminya selain mendakwa dipaksa untuk melakukan perkara di luar batasan.
Sumber: Harian Metro