Tepat pukul 8 pagi tadi, pusat pengundian di seluruh negara telah dibuka yang mana menyaksikan orang ramai menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Meskipun kita tidak pasti parti gabungan manakah yang akan memenangi pilihan raya kali ini, namun Ilham Centre, sebuah agensi konsultan telah membuat ramalan bahawa Pakatan Harapan (PH) bakal mendapat kerusi terbanyak dengan ramalan 87 kerusi.
Ia diikuti dengan Barisan Nasional (BN) iaitu sebanyak 51 kerusi dan Perikatan Nasional dengan ramalan 25 kerusi.
Dalam pada itu, Gabungan Tanah Air (GTA) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad pula diramal mendapat 1 kerusi.
Tiada parti gabungan dapat capai majoriti
Menurut Ilham, mereka juga meramalkan tiada gabungan parti yang boleh keluar sebagai pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi.
“Kurang daripada 24 jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru. Semakin tinggi undi Melayu yang ‘dicuri’ PN akan memberikan kelebihan kepada PH untuk mempertahankan dominasinya di kawasan tersebut.
“PN gah mencabar BN di kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar. Namun begitu, ianya masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu ‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan Melayu.
“BN masih betah bertahan di kawasan Melayu di sebalik kekurangan dan jentera yang berkecamuk kerana sokongan kuat pengundi putih mereka. Kepimpinan Zahid Hamidi selaku Jeneral parti menjadi liabiliti dan gagal membawa lonjakan sokongan buat BN. Beliau juga gagal mengantikan peranan ‘Bossku’ yang disaksikan dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” tulis laman Ilham Centre.
Apa-apapun debaran makin terasa, jadi kita tunggu sajalah keputusan sebenar pada malam nanti.
Baca: Lagi 2 Hari Nak PRU15, Klang & Shah Alam Kini Ditenggelami Air Setinggi 2 Kaki