Nak hak sama macam orang lain?
Baru-baru ni aktivis sosial Marina Mahathir ada cakap yang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kat negara kita berhadapan diskriminasi dalam kehidupan seharian sebab anggapan dan stigma masyarakat.
Menurut Sinar Harian, Marina menceritakan bahawa komuniti LGBT kat Malaysia ni tak minta hak tambahan pun tapi cuma nak hak yang sama macam rakyat lain. Disebabkan kenyataan ni, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria tampil memberikan respon.
Harussani menegaskan yang andai golongan LGBT ni diiktiraf, ni bermaksud bahawa kumpulan tu dah dihalalkan. Katanya Malaysia sebagai negara Islam sejak dulu lagi menentang LGBT jadi golongan ni perlu akur dan bukannya jadikan Barat sebagai rujukan.
“Aktivis sosial Marina Mahathir mengatakan di negara ini, komuniti LGBT berbeza daripada apa yang boleh dilihat di Barat. Takkan kita nak hidup seperti di Barat yang tiada budaya,” kata Harussani mengulas kenyataan Marina.
Harussani juga memberitahu bahawa sekiranya kumpulan ni dihalalkan, dia percaya bahawa golongan LGBT akan terus berkembang dan berleluasa di negara kita. Menurutnya juga, fitrah lelaki dan wanita tidak perlu diubah-ubah.
“Tuhan sudah jadikan lelaki itu adalah lelaki dan perempuan itu adalah perempuan. Jadi kenapa pula mahu diubah hak Tuhan.”
“Kenapa kita menghukumkan Tuhan itu begitu? Atau adakah kita lebih cerdik? Kerana inilah lahir golongan seperti ini, golongan ini menyalahkan Tuhan kerana mencipta mereka begitu.”
Mufti Perak ini juga menyatakan bahawa Tuhan menciptakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender ini sebagai satu ujian kepada golongan itu sendiri.
Isu berat ni. Korang rasa macam mana?
Baca: “Jangan diskriminasi kaum LGBT di tempat kerja”