Pada awal tahun 2020, dunia digemparkan dengan penularan wabak Covid-19 sehingga dilabelkan ke tahap pandemik. Keseluruhan penduduk di seluruh dunia telah dikenakan perintah berkurung atau lebih dingati dengan lockdown.
Akibat terlampau takut dijangkiti Covid-19, seorang wanita bersama anak lelakinya nekad mengurung diri di rumah mereka di Chakkarpur Gurugam di India selama tiga tahun. Kisah yang mengejutkan itu terbongkar selepas suaminya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis di Chakkarpur, India.
Memetik laporan NDTV, sepasukan polis, pegawai kesihatan dan anggota jabatan kebajikan kanak-kanak tiba di kediaman itu pada Selasa lalu atas permintaan suami wanita tersebut. Ketika menyelamatkan kedua beranak itu, pihak berkuasa mendapati terdapat timbunan pakaian, rambut, sampah, kotoran dan barangan runcit berselerak di sekeliling rumah itu.
Wanita terbabit juga dikatakan pernah memotong rambut anaknya serta rambutnya sendiri di rumah dan memasak menggunakan dapur elektrik (induction). Sampah-sarap di rumah itu juga tidak pernah dibuang selama tiga tahun dan tiada sesiapa yang mengunjungi rumah berkenaan sejak tahun 2020.
Apa yang mengejutkan, anak lelaki wanita itu tidak pernah melihat matahari sejak mereka berkurung dalam rumah tiga tahun lalu. Jiran-jirannya disekeliling bagaimanapun difahamkan tidak tahu bahawa wanita itu mengurung dirinya di dalam rumah bersama anak lelakinya.
Seorang pegawai polis berkata, wanita itu berada dalam keadaan panik akibat Covid-19 dan percaya anaknya akan mati sekiranya mereka keluar dari rumah.
Sepanjang tempoh tiga tahun mengurung diri di dalam rumah bersama anaknya, wanita berkenaan tidak membenarkan suaminya masuk ke dalam rumah.
Satu-satunya cara suami wanita tersebut kekal berhubung dengan keluarganya adalah melalui panggilan video.
Walaupun tidak dibenarkan untuk masuk ke rumah, suami wanita itu tetap membayar sewa bulanan rumah, menjelaskan bil elektrik, membayar yuran sekolah anaknya, membeli barangan runcit dan sayur-sayuran dan juga meninggalkan beg barangan keperluan di luar pintu utama rumah tersebut.
Pasangan ibu dan anak itu telah berjaya diselamatkan dan kini ditempatkan di hospital untuk sementara waktu bagi tujuan perubatan.
Baca: Viral Video Suami Dera Isteri Depan Anak, Polis Buka Kertas Siasatan