Kes bunuh dan pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih dalam perbicaraan.
Terbaharu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam, Haresh Mahadevan ketika sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Artikel berkaitan: Kes Zayn Rayyan: Representasi Ditolak, Zaim Ikhwan & Ismanira Kini Diwakili Peguam Baru
Menurutnya, notis usul itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Januari lalu dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, mereka memohon untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan kepada mereka.
Menerusi notis usul terbabit, pasangan berusia 30 tahun itu memohon kes berkenaan dibatalkan dengan alasan pertuduhan yang dibuat pada 13 Jun 2024, tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Malah, mereka mendakwa ia tidak mengandungi maklumat yang mencukupi mengenai unsur-unsur kesalahan yang didakwa dilakukan.
“Kami (Zaim Ikhwan dan Ismanira) membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.
“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan,” katanya dalam afidavit itu.
Menurut mereka, pertuduhan itu tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) menyebabkan mereka tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pihak pembelaan turut memohon supaya perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 3 Februari, ditangguhkan.
Susulan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh kemudiannya menetapkan tarikh 28 Januari bagi pengurusan kes.
Sumber: Buletin TV3