Individu yang memuat naik video rakaman CCTV bapa mengamuk di hadapan sebuah sekolah agama, gara-gara rambut anaknya digunting tanpa keizinan tampil memberikan penjelasan terhadap niat sebenar dia muat naik video tersebut.
Furqan, 26 menerusi Harian Metro berkata, niatnya hanya satu iaitu mahu orang ramai menghormati guru, tidak kira guru dari sekolah kerajaan mahupun swasta.
Artikel berkaitan : “Rambut panjang tak masuk neraka!” – Bapa Mengamuk Ustaz Gunting Rambut Anak
Artikel berkaitan : Tular Kes Lelaki Berambut Panjang Ditegur Diminta Tutup Aurat, Pihak Masjid Negara Mohon Maaf Secara Terbuka
Dia yang juga bekerja sebagai seorang guru separuh masa di sebuah pusat tahfiz di Selangor berkata, kejadian itu berlaku pada November tahun lalu dan dikongsikan di media sosial pada Isnin lalu sebelum tular sejak semalam.
Menurutnya, tujuan asal video itu dimuat naik sebagai satu respon kepada pertanyaan orang ramai mengenai sebab dia berhenti menjadi guru sepenuh masa.
“Sejujurnya, saya muat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama pelajar dan ibu bapa agar menghormati guru. Anak kita dapat ilmu daripada guru.”
“Berdasarkan insiden itu, apa boleh dikatakan adalah semua masalah boleh diselesaikan tanpa membabitkan emosi. Kalau guna emosi, memang akan kalah teruk. Percayalah, kemenangan akan berpihak kepada yang tenang.”
“Guru disiplin memang kena disiplinkan pelajar. Mana-mana guru pun tidak dapat untung apa-apa. Memang niat (guru) mahu mendidik,” katanya.
Tegasnya lagi, keputusan dia memuat naik video itu dibuat atas kesedaran dan tanggungjawabnya sendiri tanpa membabitkan mana-mana pihak sekolah.
“Saya sudah pun memadamkan video itu selepas mendapat pelbagai maklum balas. Cuma, saya berharap insiden itu dapat memberikan pengajaran kepada ibu bapa.”
“Saya nak betulkan pemikiran ibu bapa yang mana, hanya kerana anak bersekolah di sekolah swasta, rasa hormat terhadap guru ditolak tepi. Itu tidak patut berlaku,” katanya.
Terdahulu, video tular itu menunjukkan bapa mengamuk di hadapan sekolah agama gara-gara rambut anaknya digunting ustaz tanpa keizinan.
Difahamkan, guru itu berbuat demikian kerana pelajar terbabit melanggar peraturan dengan menyimpan rambut panjang.
Turut kedengaran ayat ‘rambut panjang tak masuk neraka’ didakwa disebut bapa pelajar itu ketika menengking guru berkenaan.
Sumber : Harian Metro