Sepasang suami isteri direman enam hari kerana disyaki mendera anak angkat lelaki mereka berusia sembilan tahun dengan mencucuh mangsa menggunakan pemetik api dan merendam tangannya dalam air panas hanya kerana menghilangkan pensil warna di sekolah, bulan lalu.
Perintah reman dari hari ini hingga 10 November itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Uthman Abd. Ghani terhadap pasangan berusia 27 dan 24 tahun tersebut.
Artikel berkaitan: Pengurus Kedai Runcit Dipecat Gara-gara Simb*h Air Panas Pada Anjing Liar
Artikel berkaitan: Gurauan Melampau, Anak Jiran S*mbah Air Panas Pada Budak Lelaki Ketika Sedang Tidur
Dalam laporan Kosmo!, difahamkan tindakan reman dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 30 Oktober selepas pengadu, abang kepada suspek, datang ke rumah pasangan berkenaan di Batu Berendam dan melihat kesan melecur pada jari tangan kanan mangsa serta parut lama di kaki.
“Ketika berada di rumah, suspek wanita telah menceritakan kepada isteri pengadu dia telah menyiram tangan kanan anak angkatnya itu dengan air panas pada hari sebelumnya kerana geram mangsa menghilangkan pensil warna di sekolah.
Kaki mangsa juga pernah dicucuh pemetik api oleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori. Isteri pengadu yang terkejut terus memaklumkan perkara itu kepada suaminya dalam perjalanan pulang,” katanya.
Sumber itu berkata, keesokan hari pengadu bersama bapanya kembali ke rumah suspek dengan alasan ingin membawa mangsa keluar bersiar-siar bagi memastikan keadaan kanak-kanak itu.
“Suspek bersetuju dengan syarat mangsa dihantar pulang segera. Ketika berada di rumah ayah pengadu, mangsa menceritakan bahawa dia sering dipukul oleh kedua-dua suspek.
Mangsa turut mendakwa jarinya telah direndam dalam air panas hingga melecur kerana menghilangkan pensil warna, manakala kesan parut di kaki akibat dicucuh pemetik api pada Ogos lalu,” katanya.
Pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November.
Susulan laporan tersebut, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan kedua-dua suspek tengah hari semalam.
Sumber: Kosmo!
