Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya yang bertugas di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, meninggal dunia pada Isnin lalu.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur manhandling (kekerasan) yang dipercayai penyebab kematian anggotanya, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21.
Dalam kenyataan itu, laporan awal yang diterima hasil bedah siasat dilakukan di Hospital Miri pada Selasa lalu, mendapati punca kematian disahkan akibat trauma tumpul pada dada yang merujuk kepada hentakan kuat di bahagian dada menyebabkan kerosakan pada jantung.
Artikel berkaitan: Tular Pelajar IPTA Maut Ketika Latihan, KPT Tunggu Laporan Penuh
Susulan itu, TDM menyerahkan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalani siasatan lanjut.
Pihaknya juga akan menubuhkan Lembaga Siatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor yang menyummbang kepada insiden terbabit.
“TDM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota yang terbabit dan didapati bersalah di dalam insiden ini dan berharap orang ramai tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan sedang dijalankan,” kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Dalam perkembanga lain, jenazah Allahyarham Muhammad Muqriz sudah diterbangkan ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11.55 malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera meninggal dunia akibat mengalami kecederaan dalaman selepas didakwa ‘didera’ anggota senior pada awal pagi Isnin.
Menurut laporan, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun sebelum bersahur, anggota senior terbabit mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali.
Mangsa yang berpeluh kemudian berdiri, namun terus pitam sebelum disahkan meninggal dunia jam 3.05 pagi.
Sumber: Harian Metro Berita Harian