Malaysia pernah digemparkan dengan kes kemalangan membabitkan basikal lajak yang meragut lapan nyawa remaja pada tahun 2017.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita, susulan kesalahan memandu secara melulu.
Hukuman tersebut membatalkan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang mengekalkan keputusan untuk membebaskan terduduh, Sam Ke Ting berusia 27 tahun, daripada tuduhan itu.
Menurut laporan Astro AWANI, tertuduh turut diperintah menjalani hukuman enam bulan penjara jika tidak membayar denda dan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang akan dikuat kuasa selepas tamat hukuman penjara.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membacakan keputusan rayuan kes berkenaan. Menurutnya, pelbagai faktor diambil kira termasuk kepentingan awam serta hujahan pihak berkaitan dalam rayuan tersebut.
“Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau berbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan yang dilakukan responden adalah kesalahan berat.
Mahkamah turut menimbangkan kesalahan yang dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 berjumlah 10,297 kematian,” katanya.
Katanya, mahkamah bicara juga tersilap dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan di akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.
“Responden dalam pembelaannya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri, namun versi ini tidak pernah ditimbulkan responden semasa kes pendakwaan.
Oleh itu, mahkamah ini mengenepikan keputusan mahkamah bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir kes pembelaan. Mahkamah memutuskan responden bersalah dan disabitkan atas pertuduhan itu,” tambahnya.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Netizen juga sedikit keliru mengenai kes ini kerana sebelum ini wanita tersebut dikatakan tidak bersalah.
Sebagai info, remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Baca: “Nak balikkk” – Netizen Sedih Lihat Murid-murid Ketakutan, Van Sekolah Kemalangan Depan Angkasapuri