Salah satu perkara yang perlu dihadapi oleh selebriti terkenal adalah perhatian melampau yang diberikan oleh peminat-peminat dorang. Mungkin ada antara korang yang obses dengan selebriti sampai gambar-gambar semua korang simpan, makanan kegemaran dorang pun korang tahu dan macam-macam lagi.
Bagi selebriti antarabangsa, mereka lebih terdedah dengan bahaya, lebih-lebih lagi bila sentiasa ada paparazzi yang memerhati dan beritahu dekat mana lokasi seseorang selebriti kepada peminat-peminatnya.
Dalam artikel kali ini, min senaraikan beberapa selebriti yang telah membayar harga menjadi terkenal dengan nyawa bila dorang maut di tangan peminat sendiri.
1. Selena
Selena Quintanilla-Perez merupakan penyanyi, pelakon, model dan pereka fesyen. Dua minggu sebelum hari lahirnya yang ke-24, dia telah dibunuh oleh peminatnya yang juga pengasas kelab peminatnya yang kemudian menjadi pengurus butiknya.
Untuk pengetahuan korang, Selena sangat terkenal di Mexico dan peminatnya di Amerika juga semakin ramai sehingga dia diberi jolokan ‘Mexican Madonna’. Ketika ini, Selena hampir menjadi bintang antarabangsa yang sangat terkenal selepas dia baru sahaja selesai merakamkan album Bahasa Inggeris.
Manakala pembunuhnya, Yolanda Saldivar merupakan salah seorang peminat terbesar Selena. Wanita ini telah menubuhkan kelab peminat dan kemudiannya menjadi kenalan Selena sehingga dia diambil bekerja sebagai pembantu dan pengurus butik.
Tiga minggu sebelum kejadian, Yolanda telah dipecat selepas sejumlah wang dikatakan hilang dari butik. Selena telah meminta Yolanda untuk memulangkan beberapa dokumen kewangan.
Kedua-dua wanita ini bersetuju untuk bertemu di sebuah motel di Texas di mana Yolanda telah menembak Selena. Penyanyi ini tersungkur di lobi motel sebelum dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia satu jam kemudian.
Yolanda kemudiannya menyerahkan diri kepada pihak polis dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
2. Darrel (Dimebag) Abbott
Darrel Abbot atau lebih dikenali sebagai Dimebag merupakan pemain gitar heavy metal yang terkenal pada tahun 90-an bersama bandnya Pantera. Bagaimanapun, kumpulan rock ini telah berpecah pada tahun 2003 dan Dime mula membuat band baru bersama abangnya bernama Damageplan.
Ketika Dime membuat persembahan bersama Damageplan di sebuah kelab malam di Columbus, Ohio, seorang peminat telah berlari ke pentas dan menembak pemain gitar ini di kepala ketika lagu pertama dimainkan.
Peminat tersebut, Nathan Gale kemudiannya telah membunuh seorang bouncer dan dua orang penonton serta menahan seorang penonton untuk dijadikan tebusan sebelum ditembak oleh pegawai polis.
Nathan dikatakan telah membuat keputusan untuk membunuh Dime kerana mengatakan pemain gitar tersebut adalah punca Pantera berpecah.
Bekas rakan Nathan memberitahu, lelaki tersebut merupakan peminat tegar Pantera dan sangat menyukai penyanyi kumpulan tersebut serta perpecahan kumpulan itu telah menyebabkan dia hilang kawalan.
3. Andres Escobar
Kesilapan memang biasa berlaku dalam dunia sukan, namun bagi Andres Escobar, dia terpaksa membayar kesalahannya dengan nyawa.
Pada tahun 1994, Columbia yang dijangka akan merangkul Piala Dunia pada tahun itu telah kalah 2-1 dengan pasukan Amerika Syarikat selepas Andres yang cuba untuk menghalang tendangan bola pihak lawan telah tersepak bola ke dalam gol sendiri.
Sepuluh hari selepas perlawanan tersebut, Andres yang sedang berparti dengan kawan-lawannya di sebuah restoran di Medellin telah diganggu oleh tiga lelaki yang mula menjerit dan menghinanya ekoran kesalahannya itu.
Situasi mula menjadi tegang dan ganas sebelum tiba-tiba bunyi tembakan kedengaran dan Andres dilihat terbaring di lantai mengerang sambil memegang dadanya.
Andres meninggal dunia 45 minit selepas ditembak sebanyak 12 kali di usia 27 tahun.
Pihak berkuasa Colombia percaya bahawa pengedar dadah yang kalah besar kerana perlawanan tersebut mahu Andres mati. Pembunuhnya Humberto Munoz Castro telah dijatuhkan hukuman penjara 42 tahun namun dibebaskan selepas 11 tahun.
4. John Lennon
Antara kematian selebriti yang mengejutkan adalah apabila John Lennon ditembak dan dibunuh pada 8 Disember 1980.
Beberapa jam sebelum ditembak, pembunuh Mark David Chapman sempat menyapa John Lennon di luar apartmentnya dan meminta tanda tangannya. Walaupun dilayan dengan baik, ia tetap tidak mematahkan niat Mark untuk membunuh John Lennon.
Selepas John Lennon pulang ke rumahnya bersama isterinya, Yoko Ono dari studio, Mark telah menembak penyanyi ini dari belakang sebanyak lima kali. John dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Mark kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan masih di penjara sehingga hari ini. Rayuannya untuk dibebaskan telah ditolak 11 kali. Setiap kali tiba parolnya, Yoko Ono berikan surat meminta untuk lelaki ini kekal dalam penjara.
5. Rebecca Schaeffer
Rebecca Lucile Schaeffer merupakan pelakon yang baru meningkat naik pada akhir 80-an. Dia membintangi sitkom bertajuk “My Sister Sam” apabila dia telah dibunuh oleh peminatnya. Kes ini juga telah mengubah undang-undang menghendap.
Robert John Bardo telah menjadi peminat Rebecca apabila melihat gadis ini berlakon di dalam sitkom “My Sister Sam”. Lelaki ini mula menulis surat dan Rebecca akan membalas suratnya mengatakan bahawa ia adalah surat paling indah pernah diterimanya. Di dalam surat itu juga, Rebecca telah melukis bentuk hati dan tanda ‘peace‘ dan tanda tangan dengan “With love from Rebecca”.
Lelaki ini kemudiannya telah mencuba untuk berjumpa dengan Rebecca sebanyak dua kali di studio tempat sitkom tersebut dirakamkan namun gagal. Bila dia melihat episod baru sitkom menunjukkan Rebecca membuat hubungan seks dengan lelaki lain, Robert menjadi marah dan mula menjadi obses sehingga cuba untuk mencari alamat tempat tinggal pelakon ini.
Robert telah membayar penyiasat persendirian untuk mencari Rebecca. Pada 18 Julai 1989, Robert telah menekan loceng rumah pelakon ini dan Rebecca mengatakan bahawa lelaki ini telah membuang masanya.
Tindakan Rebecca ini telah membuatkan Robert marah dan menembaknya sebelum lari dari tempat kejadian.
Pembunuh ini kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan pada tahun 1993, semua negeri di Amerika Syarikat telah meluluskan undang-undang anti hendap.
Sumber: NickiSwift, ListVerse
Baca: “Sempat minta autograf sebelum bunuh” – Cerita Penuh Kematian John Lennon Ditembak Peminat Sendiri