Kita semua nak percaya yang tugas pihak berkuasa adalah untuk melakukan semampu mereka untuk berkhidmat pada negara dan melindungi masyarakat. Namun begitu, banyak kes yang berlaku menunjukkan sebaliknya.
Tindakan ini bukan sahaja membuatkan kita sukar nak percaya dengan pihak berkuasa tapi juga merosakkan nama institusi dan membuatkan pegawai lain yang betul-betul mengikut peraturan turut dipandang buruk.
Dekat bawah ni, kita akan senaraikan beberapa pegawai polis yang rupanya merupakan seorang penjenayah ganas dan pembunuh bersiri.
Lebih mengejutkan, antara dari mereka ini turut bertanggungjawab menyiasat kes mereka sendiri dan menyalahkan orang lain yang akhirnya menerima hukuman yang berat dan ada juga yang dijatuhkan hukuman mati tau!
Artikel berkaitan: Kes Adik Zaharif: Peguam Perjelas Kenapa Suspek ‘Susah Nak Lepas’ Walaupun Pegawai Polis
Artikel berkaitan: Bukan Kes Pertama, Pegawai Polis Langgar Pelajar Didakwa Pernah Pukul Wanita Hamil Di Kedai Pakaian?
1. Christopher Dorner
Pada tahun 2008, Christopher Dorner telah dibuang dari Jabatan Polis Los Angeles selepas memfailkan laporan menuduh seorang pegawai polis bertindak ekstrem dan kasar ketika membuat penahanan.
Ekoran ini, Dorner merasakan tindakan tersebut sebagai tidak adil dan telah membuat rayuan. Namun rayuannya itu telah ditolak oleh mahkamah dengan alasan LAPD mempunyai bukti yang kukuh atas keputusan mereka yang mengatakan Dorner tidak boleh dipercayai dalam dakwaannya terhadap pegawai polis tersebut.
Pada 1 Februari 2013, Dorner telah memulakan pembunuhan balas dendamnya dengan membunuh satu pasangan di dalam kenderaan termasuk seorang anak perempuan kepada Kapten LAPD Randal Quan yang bertindak sebagai peguam bela di dalam kes pertuduhannya.
Di dalam manifesto di Facebok, Dorner mengaku yang dia telah membunuh anak Quan dan tunangnya kerana merasakan bahawa Quan tidak menjalankan tugasnya dengan baik semasa mempertahankan dirinya.
Selepas meneliti manifesto tersebut, LAPD telah membuka semula kes pemecatan Dorner dan Chief Charlie Beck telah membuat kenyataan umum meyakinkan Dorner bahawa mereka memandang serius untuk meneliti semula kesnya.
Sementara itu, pihak polis telah mula memburu Dorner dan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat menahan lelaki ini serta menganggap Dorner sebagai pengganas domestik.
Beberapa hari kemudian, Dorner telah membunuh seorang lagi pegawai polis Michael Crain dan mencederakan seorang lagi pegawai polis ketika mereka sedang membuat rondaan.
Pembunuhan Dorner ini akhirnya terhenti pada 12 Februari selepas berlakunya pertempuran tembakan di antara Dorner dan pegawai polis dan menyebabkan kematian Timbalan Jeremiah MacKay. Mereka kemudiannya cuba untuk keluarkan Dorner dari tempat penyembunyiannya dengan menggunakan gas dan mendengar bunyi tembakan dari dalam kabin.
Apabila mayat Dorner dialihkan, keputusan bedah siasat mendapati lelaki ini meninggal dunia kerana menembak dirinya sendiri.
2. Norbert Poehlke
Pada Mac 1984, anak perempuan Norbert Poehlke telah meninggal dunia kerana kanser dan meninggalkan keluarganya dengan hutang perubatan sebanyak US$40,000. Ekoran ini, Poehlke mempunyai masalah untuk menanggung keluarganya sehingga dia terpaksa melakukan jenayah.
Sementara itu, pihak polis mula perasan tentang rompakan bank yang berlaku di sekitar Barat Jerman. Perompak ini akan memecahkan tingkap juruwang dengan tukul besi dan meminta duit sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan curi. Manakala pemilik kereta pula akan ditemui meninggal dunia kerana ditembak berdekatan bank yang dirompak.
Modus operandi rompakan bank ini telah berlaku sekurang-kurangnya tiga kali membuatkan pihak polis menyiasat kes ini sebagai pembunuhan bersiri.
Selepas satu rompakan gagal, pihak polis berjaya mengenal pasti pistol perompak sebagai Walter P5 iaitu senjata yang biasa dikeluarkan untuk pegawai polis. Penemuan ini telah membawa penyiasat untuk menemui uniform polis yang dimiliki oleh Poehlke di loker sebuah stesen kereta api.
Poehlke yang menyedari pihak polis telah mula mengetahui perbuatannya ini telah membunuh isteri dan dua anak lelakinya sebelum membunuh dirinya sendiri.
3. Zeng Kaigui
Di China, wang tunai merupakan mata wang utama yang digunakan. Jadi memang tak pelik kalau tengok orang-orang di sana keluarkan duit yang banyak dari bank. Ekoran ini, pembunuh bersiri Zeng Kaigui telah menggunakan perkara ini untuk memburu mangsa-mangsanya dengan menembak mereka dan mencuri duit yang dikeluarkan.
Sebagai pegawai polis untuk Tentera Pembebasan Rakyat, Kaigui merupakan seorang yang pakar dalam bidang pengawasan menyebabkan dia dapat mengelak dari menjadi suspek selepas pihak polis menyedari tentang kecurian dan pembunuhan yang berlaku pada tahun 2004.
Namun begitu, jenayahnya ini terbongkar pada tahun 2012 selepas Kaigui menembak seorang lelaki di luar bank Nanjing dan membawa lari wang tunai sebanyak US$30,000.
Menyedari bahawa Kaigui merupakan dalang disebalik jenayah ini, pihak polis telah mengerah seramai 13,000 pegawai dan dua helikopter untuk memburu Kaigui. Malangnya, sehingga hari ini Kaigui tak dapat dijejaki dan masih dianggap berbahaya kepada masyarakat.
4. Mikhail Popkov
Di antara tahun 1992 sehingga 2000, Mikhail Popkov telah menggunakan pakaian seragam dan kereta rondanya untuk memikat dan membunuh sekurang-kurangnya 22 wanita. Sebagai seorang yang memiliki sejarah sering didera oleh ibunya, Popkov akan memilih mangsa yang menyerupai ibunya dan menyerang mereka dengan pisau atau kapak.
Dia kemudiannya akan merogol mangsanya dan meninggalkan mayat mereka di hutan-hutan sepanjang bandar Angarsk, Rusia.
Popkov berjaya mengelak dari dikesan oleh detektif selama 20 tahun dan pembunuhan yang dilakukan ini telah memberikan dia gelaran “Serigala Jadian”. Pada 2012, satu ujian DNA wajib telah dibuat terhadap semua pegawai polis di Angarsk dan Popkov akhirnya dikenalpasti sebagai Serigala Jadian yang diburu selama ini.
Pada tahun 2015, Popkov telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
5. David Stephen Middleton
Apabila David Stephen Middleton meninggalkan Jabatan Polis Miami, dia telah memulakan kerja baru sebagai pemasang kabel. Kerjaya barunya ini membolehkan lelaki ini untuk mencari mangsa yang membenarkan dia untuk masuk ke dalam rumah mereka.
Middleton malangnya tak cuba untuk menghilangkan bukti jenayahnya. Jadi, apabila mayat Kahterine Elizabeth Powell ditemui terikat di dalam tong sampah di Nevada, lelaki ini terus menjadi suspek utama kerana dia telah membuat panggilan ke rumah wanita ini beberapa hari sebelum dia dibunuh.
Tak cukup dengan itu, Middleton turut menggunakan kad kredit Katherine untuk membeli beberapa alat stereo. Namun apa yang membuatkan dia terkantoi adalah mayat Katherine telah ditutup menggunakan satu plastik sampah berwarna kuning yang hanya boleh didapati di kedai tertentu.
Selepas waran tangkap Middleton dikeluarkan, polis menemui plastik sampah, alat stereo dan beberapa bukti lain di dalam stor penyimpanan barang yang disewa oleh Middleton.
Middleton kemudiannya telah didapati bersalah atas pembunuhan kedua selepas mayat Thelma Devila turut ditemui dalam keadaan yang sama seperti Katherine. Selimut milik Thelma telah ditemui bersama rambut milik mangsanya itu.
Selepas penahanannya pada 1996, Middleton telah ditemui bersalah atas dua pertuduhan bunuh dan dijatuhkan hukuman mati. Namun ketika dia di penjara, satu lagi mayat telah ditemui dan dipercayai merupakan mangsa lelaki ini.
6. John Christie
Walaupun mempunyai rekod pernah bertindak ganas dan beberapa kes mencuri, John Christie tetap dapat memegang jawatan sebagai pegawai polis. Malah, dia turut mendapat pengiktirafan di dalam Polis Simpanan Perang.
Mangsa pertama Christie merupakan gadis berusia 21 tahun, Ruth Fuerst. Satu malam ketika perjumpaan yang membawa ke aktiviti seksual, lelaki ini telah mencekik Fuerst dan menanam mayatnya di taman rumahnya. Tak lama selepas pembunuhan pertamanya itu, Christie kemudiannya telah mengajak jirannya Muriel Eady sebelum merogol dan membunuh wanita ini.
Salah satu sebab Christie berjaya memikat mangsa-mangsanya adalah kerana dia memberitahu mereka bahawa dia merupakan seorang doktor. Kerana ini, mangsa ketiganya, Beryl Evans telah pergi bertemunya kerana mahu menggugurkan kandungan sebelum dia juga turut dibunuh dan dicekik menggunakan tali leher dan mayatnya turut ditanam di taman rumahnya.
Tahun berikutnya, Chritstie telah membunuh empat lagi wanita termasuk isterinya sendiri dan menyimpan mayat mereka di sekeliling rumahnya. Apabila dia telah ditahan dan dibicarakan atas perbuatannya ini, juri hanya mengambil masa dua jam untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas pegawai polis ini.
7. Gennady Mikhasevich
Gennady Mikhasevich telah disahkan bertanggungjawab atas pembunuhan 36 wanita, tapi sebenarnya, jumlah mangsanya mungkin hampir 60. Mikhasevich merupakan seorang pegawai polis sukarelawan di USSR. Dia sering ditugaskan untuk menyiasat semua pembunuhan yang dia lakukan.
Ekoran ini, dia telah menjadikan ramai lelaki tak bersalah sebagai pembunuh dan perogol dan kebanyakan dari mereka telah didapati bersalah dan ada yang dihantar ke kem buruh. Malah salah seorang individu turut dihukum mati selepas diseksa dan dipaksa untuk membuat pengakuan.
Namun begitu, pihak polis akhirnya dapat melihat yang kesemua pembunuhan ini telah dilakukan oleh orang yang sama. Takut perbuatannya diketahui, Mikhasevich telah menghantar surat anonymous kepada pihak polis mengatakan bahawa rasuah pada ketika itu telah menyebabkan pembunuhan-pembunuhan tersebut berlaku.
Rancangannya ini malangnya telah menjadi penyebab dia ditangkap selepas satu lagi nota telah ditinggalkan kepada mangsa barunya, pihak polis telah membandingkan tulisan tangan pada surat tersebut dengan lebih separuh juta lelaki di bandar Oblast, Rusia.
Analisis dari perbandingan tersebut telah menunjukkan Mikhasevich merupakan suspek utama dan dia akhirnya telah ditangkap dan laporan mengatakan lelaki ini telah membunuh dirinya di dalam penjara.
Mikhavesich merupakan pembunuh bersiri pertama yang diakui oleh media Soviet yang dikawal oleh kerajaan dan kewujudannya telah banyak membantu mendedahkan tahap di dalam pasukan polis USSR pada ketika itu.
Sumber: howstuffworks