Seorang suami meluahkan harapan agar isterinya kembali sembuh apabila wanita itu kini bertarung dengan barah tulang tahap empat dan sedang menjalani pembedahan berisiko tinggi di Institut Kanser Negara (IKN).
Muhammad Saifudin Salleh, 28, berkata, dia tidak sanggup melihat isterinya, Nurul Fatihah Noor Aslam, 26, terus menanggung kesakitan akibat penyakit dihidapi sejak beberapa tahun lalu.
“Saya tak sanggup tengok dia sakit dan lalui semua itu. Saya berharap barah akan hilang,” luahnya.
Artikel berkaitan: Walau Suami Sejahat Firaun, Isteri Dalam Iddah Tetap Perlu Minta Izin – Salima Habibi
Artikel berkaitan: “Rasa nak menangis tengok” – Ramai Terharu Lihat Persembahan Tun Hasmah & Siti Nurhaliza Atas Satu Pentas
Menurut Muhammad Saifudin, pembedahan yang dijalankan hari ini membabitkan prosedur pemindahan tulang kaki sepanjang tujuh sentimeter (sm) serta tampalan kulit dari paha ke bahagian kanan wajah isterinya.
Katanya, pembedahan tersebut dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 jam dan diharapkan selesai sekitar jam 7 malam.
“Isteri saya dimasukkan ke wad bedah jam 8.30 pagi tadi dan pembedahan bermula jam 9 pagi.
Pembedahan ini dijalankan seperti yang dijadualkan dan penting bagi membolehkan pemasangan mata palsu nanti.
Ia kerana mata kanan isteri sudah dibuang dalam pembedahan membuang tumor pada bahagian kanan wajahnya sekitar Mei tahun lalu.
Pembedahan ini juga bertujuan membolehkan isteri makan seperti biasa kerana sebelum ini dia terpaksa menggunakan alat khas pada lelangit,” katanya.
Muhammad Saifudin berkata, buat masa ini dia mengambil cuti sementara bagi memberi sepenuh perhatian dalam menjaga isterinya, manakala urusan menjaga anak mereka, Nur Qaleesya Dania yang berusia dua tahun, dibantu oleh ahli keluarga.

Jelasnya, sokongan padu daripada keluarga menjadi kekuatan utama untuk dia terus bertahan hingga ke hari ini.
“Keadaan isteri setakat ini stabil, cuma dia tergolong dalam kategori pesakit berisiko tinggi, jadi pembedahan hari ini sangat penting.
Tapi saya nampak semangatnya kuat. Walaupun sakit, dia tak nampak lemah. Cuma doktor tidak dapat menjamin pembedahan kali ini adalah yang terakhir.
Selepas pembedahan ini pun, saya perlu memantau keadaan isteri kerana dia tidak dibenarkan makan dan hanya boleh minum susu,” katanya.
Sebagai suami, Muhammad Saifudin menegaskan dia tidak akan meninggalkan isterinya walau apa jua keadaan kerana baginya, hanya ajal mampu memisahkan mereka.
“Selepas pembedahan kali pertama, isteri menjadi orang kurang upaya (OKU) penglihatan kerana mata kanannya dibuang dan dia pernah bertanya sama ada saya masih mahu menerimanya.
Saya sayangkannya, jadi hati saya tak pernah berubah. Malah saya sudah berdamai dengan takdir.
Sekarang saya nampak emosi isteri semakin baik dan dia juga sudah boleh menerima keadaannya,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kisah kesetiaan Muhammad Saifudin yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani, menjaga dan menguruskan isterinya sepanjang tempoh rawatan.
Barah yang dihidapi Nurul Fatihah menyebabkan ketumbuhan pada tulang bawah mata kanan yang sebelum ini membengkak sehingga menutup mata, selain merebak ke bahagian hidung dan mulut.
Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam bernombor 06082023643007 atas nama Nurul Fatihah Noor Aslam.
Sumber: Harian Metro
