in

“Hampir tekan ‘opt-out’” – Lelaki Cedera Ketika Berbasikal Luah Rasa Syukur Ada LINDUNG 24 Jam

Collage 5

Siapa sangka keputusan untuk tidak ‘opt-out’ daripada satu skim perlindungan akhirnya memberi manfaat kepada seorang pekerja Karangkraf selepas dia terlibat dalam kemalangan ketika sedang beriadah di luar waktu bekerja.

Pengurus Unit Pemasaran dan Pengiklanan Sinar Harian, Mohd Shafiq Affandy mendedahkan dia pada awalnya hampir memilih untuk tidak menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau LINDUNG 24 Jam kerana perlu membuat caruman tambahan sebanyak 0.75 peratus kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagaimanapun, dia akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan caruman tersebut.

Terjatuh basikal sampai kena 10 jahitan

Lm Gambar Hiasan 600 X 400

Menurut Mohd Shafiq, pada 2 Ogos lalu, dia sedang beriadah dengan menaiki basikal di sebuah taman sebelum terjatuh ketika cuba mengelak daripada melanggar seorang kanak-kanak.

Akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan pada bahagian kepala dengan dahinya berlubang sehingga memerlukan 10 jahitan. Dia turut mengalami bengkak dan lebam kecil sebelum diberikan cuti sakit selama seminggu oleh doktor.

Selepas kembali bekerja, seorang rakannya mencadangkan supaya dia membuat tuntutan di bawah LINDUNG 24 Jam.

Apa yang menariknya, Mohd Shafiq sendiri pada mulanya tidak tahu bahawa dia boleh membuat tuntutan untuk kemalangan yang berlaku ketika beriadah di luar waktu bekerja.

Apabila saya mula masuk kerja, seorang rakan mencadangkan supaya menuntut faedah Skim LINDUNG 24 Jam, walaupun pada mulanya saya tidak tahu bahawa tuntutan itu boleh dibuat.”

Tak sampai seminggu, dah layak terima faedah

Perkeso

Mohd Shafiq berkata, proses tuntutan juga tidak terlalu rumit kerana Bahagian Sumber Manusia (HR) Karangkraf membantunya dalam urusan permohonan termasuk menyediakan pautan ke laman web PERKESO.

Tidak sampai seminggu selepas permohonan dibuat, dia dimaklumkan bahawa dirinya layak menerima faedah di bawah skim berkenaan, sekali gus menjadi pekerja pertama Karangkraf yang menerima manfaat tersebut.

Walaupun jumlah tuntutan yang diterimanya tidak mencecah ribuan ringgit, Mohd Shafiq berkata ia tetap dapat membantu meringankan beban.

Pengalaman tersebut juga membuatkan dia melihat sendiri manfaat perlindungan yang turut meliputi kemalangan di luar waktu bekerja.

Skim LINDUNG 24 Jam sangat bagus dan manfaatnya tidak perlu diragui. Pencarum sepatutnya meneruskan caruman meskipun terdapat penambahan peratusan kerana perlu lihat manfaat bakal diperoleh.”

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Sumber Manusia Karangkraf, Nur Wahidah Yasir berkata, perlindungan pekerja merupakan aspek penting yang tidak seharusnya terhad kepada waktu bekerja sahaja kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

LINDUNG 24 Jam memberikan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti umum, hujung minggu dan hari kelepasan am.

Nasib baik tak jadi tekan ‘opt-out’ masa tu!

Sumber: Sinar Harian