Hari ini, Hakim Mahkamah Petaling Jaya, saksi dan pihak yang terlibat dalam perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin hadir ke kawasan persekitaran Apartment Idaman, Damansara Damai untuk melawat lokasi kejadian.
Hakim Dr Syahliza Warnoh yang diiringi polis dilihat memasuki pekarangan apartmen tersebut pada jam 10 pagi ini, pihak pendakwaan dan pembelaan bagi kes berkenaan juga turut kelihatan.
Artikel berkaitan : Ismanira Pakai Dua Pakaian Berbeza Dalam Selang Masa 20 Minit – Saksi
Artikel berkaitan : Saksi Dedah Riak Wajah Ismanira Tidak Risau, Lapor Polis Kehilangan Zayn Rayyan Lepas 5 Jam
Malah, Sinar Harian turut melaporkan bahawa Zaim Ikhwan, Ismanira dan saksi pendakwaan berkaitan sudah tiba di lokasi berkenaan lebih awal.
Walau bagaimanapun, pengamal media tidak dibernarkan masuk ke kawasan Blok R dan hanya boleh merakam gambar dan video di kawasan sekitar yang tidak berdekatan dengan lokasi kejadian.
Ia berikutan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz yang sebelum ini mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis yang dibuat Ismanira.
Beliau berkata, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap 2 pegawai polis pada perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Pihak pendakwaan juga berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat iaitu Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan saksi pendakwaan kelima iaitu Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.
Oleh itu, Syahliza menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-dua saksi sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut membabitkan penyediaan logistik dan keselamatan.
Sumber : Sinar Harian