Ada banyak cara untuk mendisiplinkan pelajar. Namun, mengikat mulut serta tangan bukanlah antara caranya. Terbaru, seorang ibu membuat laporan polis setelah mendapat tahu mulut dan tangan anaknya telah diikat oleh guru tadika.
Menurut laporan Harian Metro, Tee Aai Hong, 36, menyedari kemungkinan anaknya, Jasleen didera di sekolah apabila kanak-kanak itu yang berusia 5 tahun, telah mengikat adiknya yang berusia 2 tahun.
Apabila diminta untuk memberikan penjelasan, Jasleen memberitahu bahawa dia telah diperlakukan begitu oleh gurunya di tadika. Laporan WORLD OF BUZZ mengatakan Jasleen memberitahu ibunya bahawa mulut dan tangannya diikat kerana perangainya yang nakal di tadika.
Terkejut dengan jawapan yang diberikan, Tee telah berjumpa dengan guru anaknya. Menurut Tee, guru tersebut mengaku mengikat anaknya kerana dia sering bergerak dan membuat bising.
Jasleen didakwa kerap bergerak dan memegang rambut menyebabkan guru itu ‘terpaksa’ mengikat tangannya pada tempat duduk supaya dia tidak bergerak,” kata Tee.
Tee juga telah menerangkan kepada The Star yang guru tersebut dengan selambanya turut menunjukkan demonstrasi dengan mengikat pelajar lain yang berada di situ.
Guru itu juga asyik menekankan bahawa itulah cara mereka mendisiplinkan pelajar-pelajar di tadika tersebut yang terletak di Setapak itu. Tee yang takut akan keselamatan anaknya, kemudian mengambil keputusan untuk mengeluarkan Jasleen dari tadika itu dan terus membuat laporan polis. Difahamkan kes ini masih dalam siasatan polis.
Adakah cara guru tadika itu melampau? Atau adakah dengan cara itu, kanak-kanak akan menjadi lebih berdisiplin? Apa pendapat korang?
Baca: Pengasuh Taska di Melaka Kejam Dera Bayi Dengan Ikat Kaki Tangan Ketika Menyusu