Semalam, kecoh di media sosial tentang isu seorang ibu murid tahun lima di sebuah sekolah di Kelantan yang mendakwa kecederaan lutut yang dialami oleh anaknya menjadi semakin teruk selepas didenda ketuk ketampi oleh guru sebanyak 30 kali.
Menurut New Straits Times, ibu murid tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Azlina mengatakan bahawa lutut anaknya itu pada mulanya retak akibat terjatuh ketika bermain bola sepak tiga bulan lalu.

Akibat kecederaan itu, doktor di sebuah klinik swasta menasihati murid tahun lima itu agar mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti berat.
Namun, kecederaan itu didakwa menjadi semakin teruk selepas seorang guru di sekolah anaknya di Tanah Merah, Kelantan mendenda anaknya dengan menyuruhnya ketuk ketampi sebanyak 30 kali kerana tidak hadir ke sekolah pada 8 Januari lalu.
Difahamkan, murid tersebut tidak hadir ke sekolah pada ketika itu kerana mengalami cirit birit dan Azlina telah memaklumkan kepada guru anaknya bahawa dia tidak hadir kerana tidak sihat.
Namun, keesokan harinya, anaknya dan beberapa orang lagi pelajar lain yang turut tidak hadir ke sekolah telah dipanggil dan didenda ketuk ketampi sebanyak 30 kali.
Menurut Azlina, anaknya yang ketika itu masih belum sembuh dari kecederaan lutut tidak mampu untuk menghabiskan ketuk ketampi.
Walau bagaimanapun, aduan itu dikatakan tidak diendahkan oleh guru tersebut yang kemudiannya menumbuknya di dada selepas menuduh pelajar itu menipu.
Pada sekitar jam 10 pagi pada hari yang sama, keluarga pelajar itu menerima panggilan daripada pihak sekolah di mana mereka disuruh menjemput murid itu dan membawanya pulang ke rumah kerana dia mengadu sakit di bahagian lutut.
Jadi, datuk murid berkenaan datang ke sekolah untuk menjemput cucunya pulang dan dia terkejut kerana melihat keadaan cucunya. Murid itu dikatakan terpaksa didukung oleh datuknya ke arah motosikal.
Difahamkan, malam itu pula, murid tersebut mengadu sakitnya semakin teruk dan Azlina mahu membawanya ke hospital.
Namun, pihak sekolah menyuruhnya menangguhkan terlebih dahulu hasratnya itu kerana peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi.
Tidak lama kemudian, Azlina mengatakan seorang wakil dari pihak sekolah telah datang menemuinya untuk memohon maaf dan mengaku bahawa mereka telah bertindak kasar kepada murid itu.
Pihak sekolah juga telah memberikan sejumlah wang kepada keluarga itu.
Tambahnya lagi, dia telah membawa anaknya itu ke Hospital Tanah Merah pada 22 Januari dan doktor di hospital tersebut telah merujuk murid itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu di mana dia telah dibedah.

Difahamkan juga, keluarga Azlina tidak mahu membesarkan isu tersebut, namun dia mengaku dia berasa kecewa apabila mendengar desas-desus beberapa pihak bahawa pihak sekolah tidak dipersalahkan atas kejadian tersebut.
Jadi, Azlina memutuskan akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.
Pihak Azlina juga difahamkan bahawa guru berkenaan telah ditukarkan ke sekolah rendah lain di daerah yang sama.
Sumber: New Straits Times
Baca: “Budak tu pun reti malulah”- Cikgu Dikecam Rampas Barang Murid Jadi ‘Content’ Media Sosial