Gunakan label jenama nama wanita Islam bertujuan mengelirukan masyarakat Islam kononnya produk itu keluaran produk muslim dan boleh dimakan orang beragama Islam tanpa was-was.
Rupanya produk tak dapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia…
Bukan itu sahaja, syarikat itu juga didapati menggunakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang tidak sah, menggaji tujuh pendatang asing tanpa izin selain premis dalam keadaan kotor.
Premis proses maruku yang terletak di Kajang itu diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pagi semalam.
Pemeriksaan mendapati terdapat penggunaan logo halal yang tidak sah (logo generik) pada bungkusan produk makanan ringan muruku yang dijual.
“Antara strategi pemasaran yang digunakan syarikat itu adalah menggunakan label jenama nama wanita Islam bertujuan mengelirukan masyarakat Islam kononnya produk itu keluaran produk muslim dan boleh dimakan oleh orang beragama Islam tanpa was-was,”- Mohd Shahzihan Ahmad, Pengarah JAIS
Malah hasil siasatan juga mendapati yang produk tersebut juga dijual secara meluas di pasar raya berhampiran, kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit di sekitar Hulu Langat, Cheras dan di platform e-dagang, lapor Harian Metro.
Malah Mohd Shahzihan berkata hasil semakan dalam Sistem MYe-Halal Malaysia juga mendapati premis bukan pemegang SPHM yang sah.
“Oleh itu, JAIS melakukan sitaan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 membabitkan 138 kotak siap berbungkus (pelbagai peket), 960 kotak bertanda logo halal yang tidak sah (belum digunakan) dan pelbagai lagi.
“Anggaran nilai rampasan yang dilakukan adalah sebanyak RM14,819.”
Malah premis tersebut turut menggajikan sembilan pekerja dengan tujuh daripadanya merupakan warga asing (dari India dan tidak memiliki pasport atau permit kerja sah) dan dua lagi warga tempatan.
“Keadaan premis juga sangat kotor terutamanya di kawasan pemprosesan makanan dan pejabat kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 11(1)b kerana gagal menyediakan rekod latihan pengendali makanan dan 7(1) disebabkan tidak memperbaharui perakuan pendaftaran premis makanan.
“Tindakan arahan penutupan premis turut dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,”
Jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda sehingga maksimum RM20,000 dibawah Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011.