Selepas terbabit dengan insiden yang melibatkan kes polis, dua pelakon terkenal yang juga memegang gelaran ‘datuk’ hari ini telah mendapat perkhabaran yang mengejutkan daripada Setiausaha Kerajaan Pahang.
Menurut Bernama, KDYMM Sultan Pahang menerusi sebuah notis pemakluman memaklumkan bahawa Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur buat pelakon Farid Kamil dan Boy Iman telah ditarik balik dan dibatalkan dengan serta merta mulai 1 Februari lepas.
Gelaran Datuk bagi pelakon Farid Kamil, Boy Iman antara dibatalkan Sultan Pahang berkuatkuasa 1 Feb – Setiausaha Kerajaan Negeri pic.twitter.com/rX4o5JBn8g
— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) February 10, 2021
Menerusi notis tersebut juga, kedua-dua pelakon itu tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan semula Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
Perkara ini juga selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang.
Terdahulu, Farid Kamil telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan pada 2 Jun 2020 kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas.
Dalam pada itu, Boy Iman pula telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2020 kerana gagal melunaskan tuntutan bayaran RM60,000 dibuat seorang individu pada tahun 2019.
Baca: Kes Tampar Anggota Polis, Farid Kamil Dijatuhkan Hukuman Penjara 13 Bulan