Pada hari Jumaat lalu, komuniti penghantar makanan telah mengadakan mogok yang diberi nama Food Delivery Blackout. Mogok ini adalah sebagai tanda protes mereka terhadap harga bayaran yang rendah oleh syarikat penghantar makanan.
Untuk itu, rata-rata penghantar makanan telah berpakat untuk tidak bekerja selama satu hari, untuk memberi kesedaran berkenaan isu ini kepada orang ramai.
Digelar pengkhianat
Meskipun Food Delivery Blackout berjalan dengan lancar dan disokong oleh sebilangan ramai penghantar makanan, masih ada beberapa daripada mereka yang masih bekerja dan tidak turut serta dalam protes ini.
Dalam satu hantaran di TikTok, seorang lelaki mengundang perbincangan ramai selepas dia mendakwa penghantar makanan yang bekerja ketika mogok dilakukan ialah seorang pengkhianat dan mementingkan diri sendiri.
“Memang betul la cerita Mat Kilau, Melayu takkan bersatu. Nak mogok pun tak guna sebab ada pengkhianat yang pentingkan diri sendiri”, tulis lelaki ini.
Sambung lelaki ini, mogok yang dilakukan ini sepatutnya disokong oleh komuniti penghantar makanan kerana ia bertujuan untuk membantu semua pihak. Tambahan pula, mogok yang dilakukan hanyalah sehari dan mereka yang turut serta boleh kembali bekerja pada keesokan harinya.
Warganet kurang setuju
Hantaran tersebut ternyata tular dan mendapat reaksi pelbagai dari warganet. Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata warganet kurang bersetuju dengan kenyataan lelaki ini yang memberi gelaran pengkhianat kepada individu yang tidak turut serta mogok secara beramai-ramai.
Jelas salah seorang warganet, berkemungkinan individu yang tidak turut serta mogok tersebut mempunyai tanggungan keluarga dan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Tambahan pula, tidak semua orang mampu untuk mengorbankan keuntungan bekerja meskipun hanya sehari.
“Jgn la anggap pengkhianat…mereka ada tanggungang…mat kilau urusan agama dan bangsa…ini urusan cari rezki keluarga…”, tulis seorang warganet.
Apa pendapat anda tentang isu ini?
BACA: Bukan Senang Jadi Rider, Status Penghantaran ‘Kurier Dikejar Anjing’ Buat Ramai Terhibur