Pasangan suami isteri dari Jawa Timur ditahan polis atas tuduhan membunuh anak mereka berusia 7 tahun baru-baru ini. Mangsa yang merupakan murid darjah 1 meninggal dunia di hospital selepas didera oleh suspek Syahrul Abidun,19, warga Bugulkidul dan isteri Martha Widya Ningsih.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Pasuruan, AKP Achmad Doni Meidianto berkata, suspek iaitu ibu kandung dan ayah tiri mangsa sering melakukan penderaan berulang kali terhadap mangsa.
Artikel berkaitan : Wisma Putra Sahkan 4 Rakyat Malaysia Cedera Dalam Kejadian Bas Pelancong Terbabas Ke Dalam Tasik Di Norway
Artikel berkaitan : “Guna seterika, air panas” – Dera Anak Hingga Badan Melecur, Suami Isteri Ditahan
“Mereka memukul, mencakar hingga menyumbat puntung rokok ke mulut dan badan mangsa,” katanya kepada wartawan pada Isnin.
Beliau turut mengatakan bahawa mangsa mengadu sakit di bahagian dada pada Jumaat lalu sebelum diberikan minuman yang bercampur minyak kayu putih menyebabkan mangsa batuk teruk hingga mengeluarkan darah oleh bapa tirinya.
“Mangsa sempat dirawat di pusat kesihatan Bangil sebelum dirujuk ke hospital besar Bangil tapi sayangnya mangsa meninggal dunia pada Sabtu lalu.”
Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan pada bahagian ginjal kanan akibat dipukul dengan benda tumpul selain terdapat beberapa kesan luka pada tubuh mangsa.
Dalam pada itu, kedua-dua suspek mengakui bahawa motif pembunuhan itu dipercayai kerana mangsa kerap minta wang saku.
“Penderaan dilakukan sejak mangsa berusia 6 tahun lagi, gara-gara dia sering meminta wang sekitar 3 hingga 5 ribu Rupiah (sekitar RM0.90 sehingga RM1.50 ).”
Suspek yang kini sedang ditahan berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun.
Sumber : Sinar Harian