Seorang pemuda berusia 23 tahun ditahan ketika disyaki berkhalwat bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah bilik di rumah kedai di Taman Kota Kenari, di sini, pagi tadi. Ketika ditahan, lelaki itu didapati memakai pakaian tidur wanita.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata serbuan dilakukan sekitar pukul 9.50 pagi selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis tersebut.
Artikel berkaitan: Atuk Umur 81 Tahun Dicekup Berkhalwat Dengan Wanita Umur 69 Tahun
Artikel berkaitan: Selingkuh Dengan Isteri Orang, Duda Sembunyi Atas Pendingin Hawa Untuk Elak Dicekup Khalwat
“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu berada berdua-duaan di dalam sebuah bilik dan gagal menunjukkan sebarang hubungan yang sah sebagai suami isteri.
Remaja perempuan terbabit yang berstatus bujang bekerja di sebuah pusat snuker di Lunas dan baru tiga bulan menyewa di premis berkenaan,” katanya.
Menerusi laporan Kosmo, beliau menyatakan, siasatan awal mendapati remaja itu mengenali pemuda berkenaan melalui adik perempuan suspek lelaki yang bekerja bersama di pusat snuker tersebut.
Pemuda itu pula dikatakan baru berhenti kerja kilang dan tinggal dengan ibu bapanya di sebuah kampung berdekatan, namun kerap menghantar dan mengambil remaja perempuan itu pergi dan pulang kerja.
“Ketika serbuan, remaja perempuan itu memakai baju kelawar, manakala suspek lelaki memakai baju tidur kartun Doraemon milik remaja perempuan berkenaan.
Pasangan itu mengaku bukan suami isteri serta bukan mahram. Suspek lelaki memberi alasan dia hanya menumpang tidur selepas menghantar remaja perempuan itu pulang,” katanya.
Pasangan tersebut kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Sumber: Kosmo!
