Keluarga kanak-kanak yang cedera parah akibat dipukul dengan tukul besi sedang berdepan detik sukar apabila mangsa masih kritikal selepas enam hari di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut ibu mangsa, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, pihaknya dimaklumkan jantung anaknya, Muhammad Ammar, 7 tahun, terhenti seketika jam 9.30 pagi tadi. Setakat ini, doktor sedang berusaha menyelamatkan kanak-kanak itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Badrul memohon orang ramai membuat solat hajat dan mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu yang mesra dipanggil ‘Abe’.
Artikel berkaitan: Bapa Mangsa Dedah Anak Dititipkan di Rumah Suspek Sebelum Insiden Dip*kul Tukul Besi
Artikel berkaitan: Suspek Mangsa Kanak-Kanak Dip*kul Ditemui M*ti, Bapa Kanak-Kanak Rayu Doa Untuk Anak
Muhammad Badrul berkata, dia hilang kata-kata sebaik dimaklumkan jantung anaknya terhenti selama 14 minit, pagi tadi.
“Saya tak boleh nak bercakap sekarang, fikiran saya tidak tahu ke mana dah,” ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Ammar menerima lebih 50 jahitan selepas dipukul dengan tukul besi oleh bapa saudaranya yang berusia 46 tahun, di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat.
Kanak-kanak itu mengalami retak di beberapa bahagian tempurung kepala selain otak bengkak dan luka susulan kejadian.
Suspek pula ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian pada hari yang sama dan disahkan mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah serta mengalami halusinasi.
Sumber: Berita Harian