Sejak kontroversinya dengan Dato’ Seri Vida (DSV) tular di media sosial, nama usahawan yang juga bekas pembantu ini makin sering meniti di bibir orang ramai.
Bukan itu sahaja, ekoran populariti yang diraihnya ini, Iqbal Zulkefli baru-baru ini sempat keluarkan satu lagu berjudul Hujan.
Lumrah menjadi orang yang dikenali ini, pasti ada orang yang suka dan juga tak suka dengan perwatakan yang ditampilkan di media sosial.
Terbaru, Iqbal telah tampil memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ada perbuatannya yang tak disenangi oleh segelintir pihak.
Permohonan maaf dibuat lelaki berusia 27 tahun ini adalah selepas dia kongsikan beberapa keping fotonya yang telah disunting menyerupai khinzir oleh individu tidak bertanggungjawab di laman Instagram peribadinya.
Bukan itu sahaja, muka Iqbal turut disunting seperti sedang dipijak dengan kaki dan dibuat menyerupai anjing.
Ekoran insiden terlampau ini, Iqbal telah pun memohon maaf dan mengakui yang dirinya banyak melakukan kekhilafan dan menerima perkara ini dengan hati yang terbuka.
Saya memohon maaf atas segala perbuatan yang mengundang kemarahan semua di sini. Saya banyak khilaf; harus terima segala ini dengan hati yang terbuka.
Selain itu, lelaki ini turut berkata yang dia tak berdendam dengan perbuatan individu tersebut dan meminta orang ramai berdoa agar dia dapat menjadi yang lebih baik.
Sedikit pun saya tidak berdendam kerana saya tahu tidak kesemua perkara saya lakukan itu betul. Doakan saya dapat menjadi lebih baik. Saya betul-betul meminta maaf atas segala yang tidak menyenangkan.
“Tak suka sekalipun, janganlah sampai buat macam ni”
Rata-rata netizen di ruangan komen posting ini telah memberikan kata-kata semangat kepada Iqbal dan meminta agar orang ramai berpada-pada walaupun tak suka dengan seseorang.
Baca: “Saya tahu batas adab” – Tak Guna Duit Betul, Iqbal Perjelas Isu Pijak Wang Kertas Untuk Konten