Seorang kanak-kanak berusia 28 bulan (2 tahun 4 bulan) menjadi mangsa dera teman lelaki kepada ibunya.
Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata mangsa sebelum itu dibawa oleh suspek berusia 35 tahun ke sebuah pasar raya di Bahau pada jam 8.30 malam semalam (3 April) bagi membeli barang keperluan tanpa ditemani ibu mangsa.
Artikel berkaitan: “Guna seterika, air panas” – Dera Anak Hingga Badan Melecur, Suami Isteri Ditahan
Artikel berkaitan: Pengasuh Nangis Teresak-esak Kena Soal Influencer, Kes Dera Anak Majikan Sampai Muka Lebam
Difahamkan, nenek mangsa mendapati kanak-kanak tersebut menangis ketika mangsa dihantar pulang oleh suspek sebelum membuat pemeriksaan kepada cucunya itu.
“Warga emas berusia 66 tahun kemudian mendapati kesan luka pada bibir, kesan merah pada kedua-dua belah telinga dan kesan lebam pada lengan kiri mangsa dan mengesyaki mangsa dicederakan.
Nenek mangsa kemudian cuba menghubungi anaknya bagi bertanyakan apa yang berlaku namun gagal disebabkan sudah keluar dengan suspek sebelum nenek mangsa membuat laporan polis pada jam 12.10 tengah malam tadi di Balai Polis Bahau,” katanya.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka pada gegendang telinga kiri, lebam pada kedua-dua telinga, luka pada bibir bawah serta lebam pada muka dan lengan kiri.
Kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah bagi pemeriksaan lanjut.
“Suspek yang sudah tiga bulan menjadi teman lelaki ibu mangsa kemudian ditangkap bagi membantu siasatan dan suspek mengaku mencederakan mangsa ketika berada di dalam kereta di hadapan sebuah pasar raya.
Suspek bertindak mencederakan mangsa disebabkan mangsa enggan mengikutnya keluar dari kereta dan berang selepas jari telunjuk kirinya digigit mangsa sehingga berdarah,” katanya.
Suspek yang bekerja sebagai mekanik direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Buletin TV3